KEBIMBANGAN warga pendidik semakin ketara kerana mendapati pelajar di semua peringkat di Malaysia lebih mengutamakan skema atau garis panduan jawapan berbanding mencari penyelesaian yang inovatif.
Ia jelas dapat dilihat apabila berlakunya perubahan dalam corak soalan-soalan yang sering ditanyakan.
Sebagai contoh, daripada pertanyaan seperti 'berapa banyak titik perpuluhan perlu diletakkan dalam jawapan?' kepada 'bolehkah beri penyelesaian untuk masalah ini?' dan 'adakah ini penting dan perlu menghafalnya sahaja?'.
BACA LAGI: KPM giat tingkat usaha penyediaan tambahan internet, tablet untuk sekolah Orang Asli di Pos Betau
BACA LAGI: Berani tonjolkan diri, ibu tak pernah berhenti buka jalan Zaza kembangkan bakat atas pentas
Kebergantungan kepada garis panduan dalam rubrik jawapan membuka ruang kecil untuk mengembangkan kemampuan pelajar. — Gambar hiasan/The Star
Menurut Dr Lam Man Kee dan Dr Chai Yee H dari Jabatan Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), cara pemikiran seperti itu dikatakan tidak sesuai terutamanya di peringkat universiti yang memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi dan lebih kritikal.
Berdasarkan pemerhatian mereka, punca asas kepada masalah itu boleh dikesan melalui amalan atau didikan yang sudah sebati dalam diri pelajar sejak kecil lagi.
Secara jelasnya, pelajar dilatih untuk memenuhi kriteria khusus seperti digariskan dalam rubrik berstruktur.
Rangka kerja yang mempunyai keperluan memasukkan jawapan tertentu demi memperoleh markah penuh atau ketetapan mengikut setiap garis panduan dalam mencapai penyelesaian tidak membuka ruang luas untuk menggalakkan pelajar menggunakan kreativiti, originaliti dan pandangan mereka.
Perkara tersebut juga dilihat sebagai satu masalah serius terutamanya untuk subjek Matematik dan Sains.
Dalam konteks itu, penekanan perlu diberikan pada penilaian holistik pelajar dan bukannya pematuhan ketat melalui rubrik standard.
Kebergantungan pada skema pemarkahan secara tidak langsung membuatkan pelajar terlepas peluang untuk mengembangkan kebolehan berfikir secara terbuka meskipun mahir mengikuti garis panduan bagi mendapatkan gred paling tinggi.
Bidang STEM yang memerlukan daya berfikir lebih luas dan terbuka. — Gambar hiasan/The Star
Walaupun ia bertujuan memberi kejelasan dan konsistensi dalam penilaian, ia sepatutnya lebih fleksibel dan tidak menghalang semangat inovatif pelajar.
Justeru, para pendidik harus memberi tumpuan terhadap penilaian kualiti dan kreativiti pelajar sambil memberi dorongan membina bagi menggalakkan pertumbuhan, inovasi dan pembangunan kemahiran penyelesaian masalah.
Ia juga dapat mewujudkan peluang kepada pelajar mendapat tempat di alam pekerjaan sesuai dengan kepesatan pembangunan di seluruh negara ketika ini.
Bukan itu sahaja, pihak sekolah disarankan untuk mencapai keseimbangan antara struktur dengan fleksibiliti dan memastikan amalan dalam sistem pendidikan negara ini boleh memupuk kreativiti pelajar.
Langkah tersebut bagaimanapun perlu dimulakan dengan menggalakkan rasa ingin tahu atau sifat tidak takut mencuba perkara baharu kepada para pelajar.
Cara itu juga boleh meningkatkan keyakinan, kecekapan serta kecerdasan mereka sebagai persediaan menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram