
PELAKSANAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus ke atas perkhidmatan berkaitan kecantikan mulai 1 Julai depan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan wanita yang menjadikan penjagaan diri sebagai keperluan dalam kerjaya mereka.
Bagi pemilik syarikat produksi, Elena Thomas, 47, penampilan kemas dan terjaga bukan sekadar kehendak, tetapi keperluan asas dalam menjalankan urusan perniagaan.
Ibu kepada dua remaja itu berkata, beliau perlu berjumpa klien secara berkala untuk membuat pembentangan dan menutup urusan perniagaan.
BACA LAGI: Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global
BACA LAGI: Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global
"Saya mesti kelihatan terbaik apabila berurusan dengan mereka kerana ia mempengaruhi keyakinan dan kebolehpercayaan.
"Saya memang tak boleh keluar dan berjumpa orang dengan yakin jika saya rasa tidak selesa dengan penampilan sendiri,” katanya ketika mengulas mengenai pelaksanana cukai tersebut.
Kenaikan SST itu melibatkan pelbagai perkhidmatan kecantikan termasuk rawatan muka, penjagaan kuku, gunting dan rawatan rambut, rawatan pelangsingan badan, mandi herba, susu dan bunga serta servis tatu.
Menurut Elena, cukai tambahan tersebut akan memberi kesan langsung kepada perbelanjaan bulanannya.
“Ini memang sesuatu yang sangat mengecewakan,” ujarnya lagi.
Kenaikan SST melibatkan pelbagai perkhidmatan kecantikan termasuk rawatan muka, penjagaan kuku, gunting dan rawatan rambut. — Gambar hiasan/Canva
Sementara itu, eksekutif jualan berusia sekitar 40-an yang ingin dikenali sebagai Mary turut melahirkan kebimbangan sama.
“Sebagai individu terlibat dalam bidang jualan, saya perlu memastikan diri sentiasa kemas dan rapi ketika bertemu klien.
"Ia bukan sahaja mencerminkan imej saya, tetapi juga nama baik syarikat,” jelasnya memberitahu beliau kini merancang membeli beberapa pakej rawatan wajah sebelum cukai mula dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, perancang kewangan, Mandy Chee, 44, menegaskan bahawa rawatan seperti untuk kulit muka dan waxing (kaedah menghilangkan bulu) bukan semata-mata soal kecantikan, tetapi keperluan untuk wanita yang menghadapi perubahan hormon atau menopaus.
“Selepas menopaus, ramai wanita mengalami pertumbuhan bulu pada wajah dan salah satu cara untuk menanganinya ialah melalui waxing,” kata ibu tiga anak tersebut.
Tambahnya, masalah rambut kering dan keguguran juga memerlukan rawatan berterusan dan kenaikan cukai hanya akan membebankan lebih ramai wanita yang memerlukan rawatan tersebut.
Turut senada, penggaya rambut dan pemilik salon, Roy Lee memberitahu, dirinya sedang mencari jalan untuk tidak menaikkan harga secara drastik.
“Saya akan berbincang dengan pembekal produk untuk mengekalkan harga lama sekurang-kurangnya buat beberapa bulan kerana tak mahu naikkan harga terlalu cepat dan membebankan pelanggan,” katanya.
Shaika, seorang pengamal rawatan mandi lulur yang mengenakan caj RM159 bagi setiap sesi, mengakui beliau masih buntu tentang cara menyerap cukai tambahan ke dalam struktur harga sedia ada.
“Saya benar-benar tak tahu macam mana nak masukkan caj tambahan tersebut dalam harga saya,” ujarnya ringkas.
Turut terjejas ialah industri solekan pengantin dalam kalangan masyarakat India.
Jurumekap, S. Premila Devi berkata, sesetengah pelanggan cuba berunding agar caj tambahan tidak dikenakan.
“Saya akan tanggung kos tambahan untuk solekan peribadi yang kurang daripada RM300, tetapi untuk pakej solekan pengantin yang berharga RM2,000 ke atas, saya memang tak mampu untuk serap kos itu,” katanya. — The Star/WANI MUTHIAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram