
ORANG kurang upaya (OKU) yang terkait dalam kes mencabul kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di masjid minggu lalu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor pada Khamis.
Memetik laporan Astro Awani, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
"Betul, faham, mengaku bersalah," katanya.
BACA LAGI: Gula-gula gummy mata tiada lagi di pasaran, dikeluarkan dari platform online
Bagaimanapun, hukuman terhadap tertuduh yang berusia 19 tahun itu akan ditetapkan pada 27 Mac depan, selepas mahkamah mendapat laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor pukul 6.20 pagi, Jumaat lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Madmad Zulhasnan mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
"Ia termasuk melaporkan diri di balai polis dan tidak mengganggu saksi serta mangsa bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.
Selepas mendapati tiada waris tertuduh hadir untuk membuat jaminan, mahkamah menetapkan 27 Mac depan untuk laporan sosial terbabit.
Pada Jumaat minggu lalu, Polis Hulu Selangor menerima laporan pada pukul 8.19 pagi berhubung kejadian yang tular di media sosial itu, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.
Sebelum ini, tular mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pemuda itu menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit didakwa mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.
Mangsa yang trauma dengan peristiwa itu, bagaimanapun, dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram