SEORANG guru lelaki sekolah rendah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan tahun enam, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Azhar Mohamad, 44 didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa atas dua pertuduhan dan mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
BACA LAGI : Guru didakwa cabul murid ketika bawa masuk rumah hantu karnival sekolah di Melaka
BACA LAGI : [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.30 pagi di sebuah sekolah rendah dalam daerah Melaka Tengah, Melaka pada 8 Januari 2025.
Memetik laporan Kosmo!, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan menyara tiga anak berusia 7, 11 dan 13 tahun selain ibunya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, hadir setiap prosiding dan melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan tarikh 17 Februari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan pengalaman mengunjungi aktiviti di 'rumah hantu' bertukar trauma buat dua murid darjah enam di Melaka selepas mereka didakwa dicabul oleh tertuduh.
Pemangku Ketua Polis negeri, Asisten Komisioner Kanan Datuk Md Nazri Zawawi berkata, kedua-dua murid perempuan itu ditemukan dalam keadaan menangis dan terketar-ketar selepas menyertai aktiviti rumah hantu itu, yang diadakan untuk karnival sekolah pada Rabu minggu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram