PU Azman dijel 6 tahun di Penjara Kajang, kena 1 sebatan kes amang seksual


PU Azman (tengah) dihukum penjara enam tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Isnin.

PENDAKWAH selebriti Azman Syah Alias dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Tertuduh dikenakan hukuman tersebut atas satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun tujuh tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali memerintahkan Azman Syah, 43, atau lebih dikenali sebagai PU Azman menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula Isnin.

BACA LAGI: Dijel 14 bulan laku kelucahan melampau, PU Azman mohon maaf kepada pengadu, kerajaan dan polis

BACA LAGI: Peguambela PU Azman mohon Jabatan Peguam Negara semak semula tuduhan serangan seksual

Tertuduh juga dikehendaki menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.

Dalam prosiding sama, mahkamah menetapkan pertuduhan kedua tertuduh sebagai 'Take Into Consideration' (TIC) mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Keputusan itu dilakukan selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi pada awal bulan ini, yang dikemukakan pihak pembelaan mewakili Azman Syah pada Oktober lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Klang, Selangor menetapkan tertuduh dihukum penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki pada 2022. — The Star/N.TRISHA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram