
REMAJA berusia 19 tahun memiliki kad orang kurang upaya (OKU) yang tular mencabul seorang kanak-kanak perempuan dalam masjid di Batang Kali, Selangor menukar pengakuannya di Mahkamah Sesyen Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.
Memetik laporan Berita Harian, tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Tertuduh bagaimanapun mengaku faham dengan pertuduhan yang dibacakan.
BACA LAGI: Lelaki OKU mengaku salah cabul budak di masjid, hukuman ditetapkan 27 Mac depan
BACA LAGI: JKM sahkan suspek cabul budak di masjid pemegang kad OKU sejak kecil
Suspek kes cabul kanak-kanak perempuan di masjid dekat Batang Kali merupakan pemegang kad OKU sejak kecil.
Susulan penukaran pengakuan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon tarikh baharu untuk penyerahan dokumen.
Perubahan itu dilakukan kerana Khamis merupakan tarikh yang ditetapkan untuk menjatuhkan hukuman ekoran tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pada 27 Februari lepas.
Sementara itu, peguam, Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh memaklumkan akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan.
Norshila berkata, ia bagaimanapun hanya boleh dilakukan selepas serahan dokumen pada 29 April ini.
Sebelum ini, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan di masjid tersebut pada 21 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Madmad Zulhasnan mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram