
PADA tahun 2000-an, trend streetwear mula mendapat tempat dalam dunia fesyen dengan gabungan elemen glamor dan gaya hidup urban.
Kini, fesyen sukan pula mengambil alih perhatian.
Banyak jenama fesyen terkenal mengambil inspirasi daripada pakaian senaman seperti fabrik teknikal, potongan ringkas dan elemen utiliti, kemudian mengolahnya menjadi gaya yang lebih mewah dan bergaya.
BACA LAGI: Tona lampu pencetus mood, ketahui gaya pencahayaan paling berkesan untuk setiap ruang kediaman
Celine menampilkan koleksi fesyen pilates pada April lalu. — Celine
Kini boleh dilihat legging, pakaian dalam sukan dan kasut larian dipersembahkan di pentas peragaan fesyen dalam bentuk yang lebih bergaya.
Celine melancarkan koleksi fesyen pilates pada April lalu, manakala Chanel memperkenalkan barang kemas mewah yang diinspirasikan oleh cinta pengasasnya, Gabrielle Chanel terhadap aktiviti menunggang kuda, bermain ski, tenis dan golf.
Pada masa sama, jenama sukan pula mula bereksperimen dengan rekaan bergaya.
Onitsuka Tiger, contohnya, tampil pada Minggu Fesyen Milan membuktikan bahawa rekaan berasaskan sukan boleh melangkah ke dunia fesyen tinggi.
Fila pula memperkenalkan rekaan kasut baharu yang menggabungkan kasut sukan dengan kasut balet.
Ketua Pegawai Eksekutif Misto Malaysia, Jimmy Jin Bohyun yang membawa jenama Fila ke Malaysia berkata, ia bukan tentang prestasi, tetapi tentang kehadiran.
"Koleksi tersebut membantu pemakai mengekspresikan diri dengan yakin, sama ada mereka mahu tampil santai atau bergaya," ujarnya
Tambah beliau, gaya hidup kini semakin berubah dan fesyen menjadi lebih fleksibel.
“Koleksi ini mencerminkan perubahan tersebut direka untuk wanita yang bergerak yakin dari satu tempat ke tempat lain tanpa perlu menukar kasut,” katanya.
Malah, beliau menegaskan bahawa identiti Fila sentiasa seimbang antara gaya dan fungsi.
“Walaupun Fila berasal dari dunia sukan, gaya sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti jenama kami," jelasnya.
Penggemar fesyen bukan sahaja ingin tampil bergaya semasa bersenam, bahkan pakaian sama juga boleh dipakai ke mana-mana acara. — Instagram/@cupcake_aisyah
Permintaan semakin meningkat
Pengasas bersama Good Times, Sean Chin, turut berkongsi pemerhatian tentang trend tempatan.
“Rakyat Malaysia memang aktif, tetapi sekarang mereka mahukan pakaian yang selesa, praktikal dan tetap bergaya.
"Kami mahu hasilkan pakaian yang boleh dipakai untuk bersenam dan terus dipakai ke majlis santai berikutnya," kata Sean.
Jenamanya menggunakan fabrik berfungsi dan reka bentuk teknikal, namun mengekalkan gaya harian yang menarik.
“Bersenam atau menjalani gaya hidup aktif tidak bermakna kita perlu korbankan gaya," katanya lagi.
Pengarah Urusan Kelab Padel Ascaro yang berasal dari Stockholm, Daniel Liljekvist pula menegaskan bahawa pengguna hari ini mahu lebih daripada sekadar fungsi.
“Pelanggan kami mahukan gabungan fungsi teknikal dan rekaan yang sofistikated. Gabungan ini bukan lagi satu niche, ia kini menjadi norma,” katanya.
Aksesori seperti kaca mata turut terpengaruh dengan fesyen sukan. — Instagram/@sofeashra
Industri aksesori turut terpengaruh
Trend ini turut mempengaruhi industri aksesori.
Kaca mata gaya sukan seperti shield sunglasses yang dahulunya hanya dipakai semasa aktiviti seperti ski dan berbasikal kini menjadi pelengkap fesyen harian.
Menurut jurucakap syarikat gergasi industri kaca mata, EssilorLuxottica, gabungan fesyen dan fungsi semakin jelas dalam evolusi kaca mata.
Jenama seperti Oakley, Ray-Ban, Prada dan Burberry juga menghasilkan rekaan kaca mata yang bergaya namun masih mengekalkan ciri teknikal.
“Kaca mata sukan bukan sahaja berfungsi, ia juga mempamerkan gaya yang berani,” tambah jurucakap itu.
Contohnya, padankan kaca mata jenis shield berteknologi tinggi dengan pakaian berstruktur seperti sut atau gaya monokrom yang ringkas. Ini akan menjadikan kaca mata tersebut sebagai fokus utama penampilan.
Menurut beliau lagi, teknik padanan dan gabungan pelbagai gaya adalah kunci untuk tampil lebih muda dan bergaya.
Rangka kaca mata bergaya sukan sangat sesuai digayakan bersama jaket bomber, vest utiliti, seluar kargo atau seluar barrel jeans.
Mungkin yang paling penting adalah keyakinan diri untuk menggabungkan elemen berasaskan prestasi dengan gaya peribadi dan biarkan perbezaan gaya itu mencipta identiti tersendiri.
Kini, apabila sempadan antara fungsi dan fesyen semakin kabur, jelas bahawa rekaan berasaskan prestasi tidak lagi terhad kepada gim atau gelanggang sukan.
Sama ada di pentas peragaan, di jalanan atau sebagai sebahagian daripada aksesori harian, pengaruh gaya atletik sedang mengubah cara kita mentafsir gaya masa kini. — The Star/BERVIN CHEONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram