Rahsia biru navy, warna 'timeless', ruang tampak mewah, mampu lonjak nilai harga rumah — Pakar hartanah


  • Hias
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Biru navy memberi rasa tenang dan tersusun. — Gambar hiasan/Freepik

KADANGKALA sukar untuk percaya bahawa perubahan sekecil warna dinding boleh mengubah pencahayaan, ruang dan suasana dalam rumah anda namun itulah hakikatnya.

Seorang pakar hartanah mendedahkan bahawa satu warna cat sahaja mampu menjadikan mana-mana ruang kelihatan lebih mewah, sekali gus mewujudkan suasana elegan dan eksklusif tanpa memerlukan pengubahsuaian mahal.

Terry Fisher dari Sold.co.uk menjelaskan bahawa ramai pemilik rumah percaya mereka perlu berbelanja besar untuk mencipta suasana rumah yang tampak mewah.

BACA LAGI: Rekaan biophilic akses kepada alam semula jadi, gaya hidup hijau buat kediaman lebih tenang

BACA LAGI: Sanggup gerak pukul 4 pagi dari Pulau Pinang ke Bukit Jalil tengok 'game' MU, kejutan hari jadi anak pengikat kasih keluarga

Pemilihan warna cat yang tepat sahaja sudah cukup untuk mengubah ruang dan menambah nilai dari segi persepsi.

"Ramai orang fikir mereka perlu tukar dapur atau belanja ribuan ringgit untuk lantai baharu supaya rumah nampak lebih bernilai.

"Tapi sebenarnya, salah satu cara paling mudah dan murah untuk naik taraf ruang adalah dengan memilih warna cat yang betul," kata Terry.

Warna biru navy cukup berani untuk menambah impak ruang. Agensi

Warna pilihan: Biru navy

Warna yang disarankan oleh Terry ialah biru navy, yang digambarkan sebagai klasik, elegan dan menjadikan ruang kelihatan lebih rapi serta mewah secara serta-merta.

"Biru navy cukup berani untuk menambah impak, tetapi masih cukup sopan dan menarik untuk tampak bergaya.

"Sama ada digunakan pada dinding, pintu atau kabinet dapur, ia memberikan kesan kedalaman dan sofistikasi yang amat menarik perhatian pembeli," ujarnya.

Terry mengesyorkan biru navy untuk ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur, namun ia juga sesuai digunakan di kawasan seperti lorong dan ruang masuk rumah.

Terry turut memberikan panduan praktikal untuk menggunakan warna ini dengan berkesan.Agensi

Faktor psikologi: Tenang dan teratur

Menariknya, kelebihan biru navy bukan hanya pada aspek visual, tetapi juga memberi kesan psikologi yang menenangkan.

"Biru navy memberi rasa tenang dan tersusun. Ia memberi gambaran bahawa rumah dijaga dengan baik dan aspek penjagaan itu memberi nilai tambah secara halus dari sudut persepsi pembeli."

Terry turut memberikan panduan praktikal untuk menggunakan warna ini dengan berkesan.

"Pilih kemasan matte atau eggshell, bukannya berkilat. Ia kelihatan lebih eksklusif dan canggih,” jelasnya.

Bagi mereka yang ragu-ragu untuk mengecat seluruh ruang, Terry mencadangkan untuk mula secara kecil-kecilan.

"Kalau tak yakin, mulakan dengan mengecat pintu atau sudut kecil. Ia tetap mampu mengubah suasana ruang secara ketara."

Akhirnya, Terry menyimpulkan bahawa biru navy merupakan ‘kemas kini kos rendah tetapi mempunyai impak tinggi’, dan salah satu cara paling mudah untuk menambahkan sentuhan mewah ke dalam mana-mana rumah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram