
FESYEN berhijab masa kini bukan sekadar tuntutan agama, tetapi turut menjadi ruang wanita Muslimah mengekspresikan gaya peribadi secara sopan dan selesa.
Teknik layering atau teknik lapisan semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita berhijab kerana ia menawarkan fleksibiliti dan gaya moden.
Bagaimanapun, jika tidak dipraktikkan dengan cara yang betul, ia boleh menyebabkan penampilan kelihatan terlalu sarat atau bulky.
Inner nipis bantu mewujudkan struktur penampilan yang kemas. — Gambar hiasan/Freepik
Berikut enam teknik membantu hijabi tampil lebih kemas dan teratur dalam gaya lapisan.
1. Mulakan dengan asas sesuai
Pemilihan pakaian asas bersesuaian penting sebelum menambah sebarang lapisan. Pakaian asas seperti inner nipis, baju berlengan panjang fit dan seluar tidak terlalu labuh membantu mewujudkan struktur yang kemas.
Elak memakai pakaian terlalu longgar dari atas hingga bawah kerana ia menyukarkan imbangan visual dan menjadikan tubuh kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar.
Warna neutral memberi efek penampilan lebih tersusun. — Gambar hiasan/Freepik
2. Pilih padanan warna harmoni
Warna memainkan peranan besar dalam memastikan penampilan kelihatan tersusun. Padanan warna senada atau neutral seperti putih, beige, coklat muda dan hitam membantu mencipta gaya yang kemas tanpa terlalu menonjol.
Elak menggunakan terlalu banyak warna terang dalam satu penampilan kerana ia boleh menimbulkan kesan tidak teratur.
Kombinasi tiga warna sudah mencukupi untuk satu set gaya yang mana satu sebagai warna utama, satu sebagai pelengkap dan satu sebagai penegas.
Gunakan fabrik ringan lapisan pertama untuk elak rasa panas. — Gambar hiasan/Freepik
3. Fabrik ringan
Cuaca panas dan lembap di Malaysia menuntut pemilihan fabrik yang sesuai. Bagi teknik lapisan, sebaiknya gunakan fabrik ringan seperti kapas, linen atau rayon untuk lapisan pertama.
Fabrik jenis ini bukan sahaja selesa dipakai sepanjang hari, malah membantu mengurangkan rasa panas apabila digabungkan dengan jaket atau outerwear lain.
Lapisan terlalu tebal hanya akan membuatkan pemakai rasa tidak selesa dan penampilan kelihatan berat.
4. Pin tudung di bahagian belakang, jangan ikat!
Bagi memastikan tudung tidak menambah ‘berat’ di sekitar leher, cuba bawa kedua-dua belah tudung ke belakang badan kemudian pinkannya.
Teknik yang dikongsikan oleh pempengaruh fesyen Khainina Khalil ini membolehkan tudung jatuh lebih kemas dan tidak bertindih secara berlebihan di bahagian depan.
Ia juga mencipta panampilan lebih kemas, menjadikan keseluruhan gaya lapisan kelihatan lebih seimbang, terutamanya apabila digayakan bersama jaket atau cardigan selain baju kurung.
5. Ikat tudung dengan getah kecil untuk kekemasan
Kebanyakan hijabi cenderung untuk mengikat tudung terus menggunakan hujung kain terutama untuk gaya harian atau segera.
Namun, amalam ini sebenarnya boleh menyebabkan bahagian leher dan bahu tampak berlapis dan sarat, lebih-lebih lagi jika digayakan bersama pakaiann berlapis.
Sebaliknya, gunakan getah kecil untuk ikatan dalaman. Ia membantu memastikan tudung kekal terletak kemas.
Getah juga mudah disorok di balik tudung dan memberi hasil akhir yang lebih kemas dan seimbang.
6. Masuk sebelah shawl dalam baju, selempang sebelah lagi ke belakang
Teknik ini sangat sesuai untuk mereka yang gemar memakai baju longgar atau baggy.
Dengan memasukkan satu sisi shawl ke dalam baju dan membiarkan satu lagi diselempang ke belakang, ia membantu mencipta penampilan yang lebih ringan dan kemas.
Gaya ini juga memberi kesan visual yang lebih teratur tanpa menampakkan lapisan tudung bertindan di bahagian hadapan.
Dengan penguasaan teknik lapisan yang betul, hijabi bukan sahaja boleh tampil bergaya, malah mengekalkan keselesaan sepanjang hari.
Yang penting, ketahui keseimbangan antara potongan, warna dan fabrik agar gaya yang dipilih kekal sopan dan sesuai untuk pelbagai suasana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram