
PADA satu majlis konvokesyen penuh gemilang di University of St. La Salle Bacolod, Filipina, nama Tricia Ann G. Anda diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi akademik, Summa Cum Laude, baru-baru ini.
Namun, yang meninggalkan kesan paling mendalam bukanlah sekadar pencapaian akademiknya, tetapi ucapan luar biasa menyentuh hati ramai pihak.
Ketika ramai menjangkakan ucapan Tricia berkisar tentang kejayaan peribadi, ketekunan belajar dan pengorbanan diri, wanita itu mengejutkan dewan apabila memilih untuk mengangkat suara mereka yang tidak pernah diberi tempat di pentas, digelarnya pejuang senyap.
BACA LAGI: Pramugari, bekas tentera buktikan wanita mampu kuasai kerjaya golongan lelaki, terbang di awan biru
BACA LAGI: Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global
“Bagaimana jika orang yang paling layak menerima pingat ini, sebenarnya tidak pernah dapat pun?
“Bagaimana jika pelajar terbaik sebenar bukanlah yang berdiri di atas pentas, tetapi sedang duduk diam dalam kalangan kamu sekarang?” soalnya kepada hadirin yang terdiam.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Psikologi itu memilih untuk memberi penghormatan kepada rakan-rakannya yang terpaksa bekerja sambil belajar, berkorban demi terus berada di menara gading meskipun dihimpit kesusahan.
“Saya ingin hadiahkan pingat ini kepada rakan-rakan yang bekerja secara dalam talian ataupun buat kerja sambilan.
“Ada yang guna telefon retak, pinjam komputer riba, jual makanan, hasil seni, apa sahaja untuk teruskan hidup,” luahnya.
Ucapan itu bukan sahaja menggambarkan empati, tetapi turut memaparkan kesedaran dirinya terhadap keistimewaan dinikmati sepanjang tempoh pengajian.
Akui Tricia, dirinya hidup selesa sepanjang hayat, dari tadika hingga universiti, beliau dihantar ke sekolah.
"Makanan disediakan, baju seragam digosok. Saya hanya perlu hadir,” ujarnya.
Kejujurannya disambut dengan keheningan penuh hormat daripada hadirin. Ada yang dilihat mengesat air mata, tersentuh dengan keberanian Tricia mengakui kelebihan hidupnya dan dalam masa sama memuliakan usaha rakan-rakan kurang bernasib baik.
“Mungkin saya memperoleh PNGK (Purata Nilai Gred Keseluruhan) tertinggi, tetapi mereka memperoleh penghormatan saya yang paling dalam,” tuturnya.
Tricia bahkan menyamakan kekuatan sebenar rakan-rakannya persis kepompong yang tumbuh dalam senyap, tanpa pujian atau sorotan.
Barisan mahasiswa dan mahasiswi yang diraikan pada majlis konvokesyen di University of St. La Salle Bacolod. — Agensi
“Tidak semua transformasi itu bising. Ada yang berlaku dalam gelap, pada pukul 3 pagi semasa syif kerja, di dalam bas sambil menelaah nota separuh faham, dalam doa bisik semasa mengira duit syiling untuk bayaran yuran.
"Saya nampak anda. Ketahuilah bahawa anda juga penting, ia sudah cukup,” katanya.
Ucapan Tricia menjadi lambang harapan dan pengiktirafan kepada mereka yang selama ini rasa tidak terlihat.
Sebagai penutup, beliau mengalihkan penghargaan kepada individu yang sering terpinggir dalam sambutan akademik iaitu ibu bapa, kakitangan pembersihan, pengawal keselamatan dan staf penyelenggaraan serta menyerahkan kejayaannya kepada Tuhan.
“Kita bukan sekadar dilatih untuk sampai ke garisan penamat, kita dibentuk untuk berada di barisan hadapan.
"Kini sayap telah terbuka. Terbanglah tinggi ya, tapi dengan bijak. Terbang dengan bangga ke mana jua kita pergi selepas ini," tambahnya.
Ucapan Tricia menjadi sebutan bukan kerana grednya semata-mata, tetapi keberanian, kejujuran dan hatinya yang besar.
Dalam dunia yang sering mengagungkan pencapaian, beliau memilih untuk meraikan perjuangan, walaupun yang senyap. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram