'Survei okey beli tak payah', pasangan suami isteri jalani IVF 'perit' dakwa diperli sinis staf kedai barangan bayi


  • Bonda
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Wanita itu turut menyeru orang ramai agar lebih berempati terhadap pasangan yang sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat.

KEGEMBIRAAN sepasang suami isteri ketika meninjau sebuah kedai barangan bayi terkenal direntap selepas mereka didakwa dimalukan salah seorang kakitangan premis tersebut.

Kejadian yang berlaku pada 30 Mei lalu itu kemudian dikongsikan menerusi aplikasi Thread milik nuyenggg pada Jumaat.

Menurut wanita tersebut, mereka memang kerap ke kedai bayi, bukan saja untuk survei barangan bayi, tetapi juga membeli tisu basah, bedak, losen dan hadiah kepada individu lain.

BACA LAGI: Warna biru, hijau beri ketenangan, 5 lagi elemen dekorasi pejabat kurangkan stres pekerja

BACA LAGI: Pokok kemboja cantik tapi akar rosakkan struktur bangunan? Arkitek landskap perjelas fakta sebenar

Difahamkan, pada malam kejadian, pasangan yang sedang menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) itu berhasrat membeli set baju bayi sebagai simbol semangat dan harapan menjelang prosedur pemindahan embrio mereka. 

"Namun ketika di kaunter pembayaran, salah seorang pekerja bertanyakan soalan peribadi dengan wajah ketat.

“Selepas beritahu kami tengah buat IVF, dia jawab semoga selamatlah ek.

"Tanpa rasa bersalah, di depan muka kami dia kata, selepas ini dah tak payah beli apa-apa barang. Tengok dulu IVF tu macam mana. Survei okey, beli tak payah,” tulisnya.

Pasangan itu memang kerap ke kedai bayi untuk membeli tisu basah, bedak, losyen dan hadiah kepada individu lain.

Kenyataan itu, yang membawa maksud sinis seolah-olah usaha mereka mungkin gagal, benar-benar mengejutkan dan mengecewakan pasangan berkenaan.

Hanya mampu terkedu dan tidak berdaya untuk menjawab, kedua-duanya hanya berdiam diri sepanjang perjalanan pulang. 

“Apabila sampai rumah, saya terus menangis dalam pelukan suami.

"Kemudian saya sedar, kata-kata itu sebenarnya sangat menyakitkan. Rasa seperti kami tak layak pun nak beli barang bayi hanya kerana sedang menjalani IVF/TTC (trying to conceive).

"Siapa tahu kalau kami beli sebagai hadiah? Langsung tak boleh ke nak berbaik sangka?" luah beliau.

Wanita itu turut mempersoalkan, sama ada salah bagi pasangan sedang berusaha mendapatkan zuriat untuk membeli barangan bayi sebagai tanda harapan.

Tambahan pula, mereka adalah pelanggan yang membayar, bukan meminta percuma.

"Saya tanya suami, hina ke orang tengah buat IVF beli barang bayi? Tak layak ke kita?

"Ketika itu saya sedar rasa sedih dan malu berubah jadi marah sebab hati suami pun terluka.

"Sebagai wanita yang sama-sama sedang TTC, kita semua dah lali dengan kata-kata orang sekeliling. Walaupun sakit, dah terbiasa tapi bila orang asing sanggup sakiti hati kami, saya betul-betul marah," tegasnya lagi.

Suaminya kemudian mencadangkan agar mereka tidak lagi menyokong jenama tersebut dan memilih untuk berbelanja di kedai lain yang lebih mesra pelanggan.

“Dengan perjalanan IVF yang begitu mencabar secara fizikal, mental dan emosi, saya sedar tidak patut bertolak ansur dengan sebarang penghinaan atau kata-kata yang menyakitkan,” ungkapnya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar lebih berempati terhadap pasangan yang sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat.

“Kami cuma perlukan kata-kata positif. Bagi anda mungkin nampak berlebih-lebih, ‘belum mengandung dah beli barang bayi’, tapi bagi yang melalui IVF, setiap sepasang sarung tangan kecil, baju bayi adalah lambang harapan dan bukti kami tak putus asa,” jelasnya.

Pasangan itu berharap agar pengalaman pahit tersebut menjadi peringatan buat semua pihak agar lebih sensitif dalam berinteraksi, terutamanya dengan pelanggan yang mungkin sedang berjuang dalam diam.

“Kalau tak mampu nak faham, cukuplah dengan tidak menghina. Anda tak perlu empati untuk itu, cukup sekadar jadi manusia yang ada hati," katanya.

Dalam perkembangan lain, difahamkan pihak pengurusan kedai tersebut sudah  memohon maaf kepada wanita itu dan akan menjalankan siasatan sewajarnya terhadap insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram