Bekas pekerja sosial hasil anak patung khas untuk kanak-kanak OKU, tubuh inisiatif A Doll Like Me


  • Sukses
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Bagi Amy (kiri), usahanya bukan perniagaan, ia adalah misi kemanusiaan, satu tindakan kecil dengan impak yang besar. — Agensi

SEORANG bekas pekerja sosial perubatan, Amy Jandrisevits, menggunakan kreativiti dan empatinya untuk membawa sinar ke dalam hidup kanak-kanak yang berdepan cabaran kesihatan dan fizikal. 

Melalui projek unik dinamakan A Doll Like Me, Amy mencipta anak patung menyerupai kanak-kanak sebenar termasuk mereka yang mempunyai perbezaan anggota, kesan parut, tanda lahir atau kehilangan rambut akibat rawatan kanser.

“Saya pernah beri anak patung berambut cantik kepada kanak-kanak yang kehilangan rambut akibat kemoterapi. 

"Namun rasa seperti satu ketidakadilan. Anak-anak ini patut rasa mereka cukup dan indah seadanya, bukan sebaliknya,” katanya memetik laporan media antarabangsa.

BACA LAGI: Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global

BACA LAGI: [VIDEO] Diberi masa 5 hari untuk hidup, Aziela buktikan kanser bukan halangan, usahawan tak boleh 'hati tisu'

Amy mencipta anak patung yang menyerupai fizikal kanak-kanak sebenar. — Agensi

Berbekalkan pengalaman sebagai pekerja sosial yang menggunakan anak patung dalam sesi terapi bermain, Amy mula menyedari majoriti anak patung yang ada di pasaran tidak mencerminkan realiti fizikal ramai kanak-kanak.

Sebaliknya, ia memperkuat stereotaip tentang rupa sempurna.

Namun segalanya berubah apabila Amy diminta oleh kenalan untuk mencipta anak patung khas buat seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menjalani transisi jantina. 

Anak patung itu tampil dengan rambut hijau pendek dan berpakaian seperti salah satu karakter dalam kartun Teenage Mutant Ninja Turtles. 

“Saya terfikir, alangkah indahnya kalau setiap anak dapat melihat diri mereka dalam anak patung,” ujarnya.

Tampung kos

Permintaan demi permintaan mula tiba, termasuk daripada ibu bapa kepada anak yang kehilangan anggota badan, menghidap albinisme atau memiliki tanda lahir besar.

Dalam masa dua bulan selepas projeknya disebarkan di media sosial, Amy menerima lebih 200 tempahan, semuanya untuk anak patung dengan perbezaan unik.

“Kita selalu kata kepada anak-anak, kamu cantik sebagaimana kamu, tapi bagaimana kalau tiada satu pun anak patung yang menyerupai mereka? 

"Ia umpama berkata tanpa membuktikannya,” jelas beliau lagi.

Tempahan anak patung yang dihasilkan Amy mampu mengukir senyuman pada wajah kanak-kanak. — Agensi

Sejak itu, lebih 300 anak patung telah dihasilkan, semuanya hasil kerja tangan Amy sendiri dari rumah, sambil menguruskan tiga anak termasuk seorang bayi kecil.

Kebanyakan ibu bapa membayar sekitar $85 (RM360) hingga $100 (RM423) untuk kos anak patung dan penghantaran. 

Namun, bagi keluarga yang tidak mampu, Amy sendiri akan mencari jalan untuk menampung kos tersebut.

“Ketika memulakan projek ini, seorang lelaki yang menonton video kanak-kanak menerima anak patung hubungi saya.

"Beliau mahu menaja tiga anak patung. Ia sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran. 

"Ia cara fizikal untuk menunjukkan kepada keluarga bahawa ada orang yang ambil peduli dan mahu bawa perubahan dalam hidup seorang anak,” ungkapnya.

Amy mahu menjadikan A Doll Like Me satu pertubuhan bukan keuntungan agar lebih ramai kanak-kanak dapat merasai pengalaman pemulihan. — Agensi

Sumbangan orang ramai

Bagi memperluas impaknya, Amy melancarkan kempen GoFundMe untuk membolehkan orang ramai menaja anak patung buat keluarga lain. 

"Abang ipar mencadangkan agar saya mulakan kempen tersebut. Dengan itu, sesiapa sahaja boleh menaja anak patung untuk keluarga memerlukan," maklum wanita tersebut.

Amy kini dalam usaha menjadikan A Doll Like Me sebuah pertubuhan bukan keuntungan agar lebih ramai kanak-kanak dapat merasai pengalaman memulihkan dan menguatkan itu secara percuma.

“Kalau kita benar-benar mengambil berat tentang penjagaan holistik, kesihatan mental adalah sebahagian daripadanya. 

"Anak-anak berhak rasa mereka dilihat, diiktiraf dan diterima. Anak patung mungkin nampak kecil, tapi mesejnya besar.

"Kamu sempurna sebagaimana kamu,” pesan beliau lagi.

Bagi Amy, usahanya bukanlah satu perniagaan. Ia adalah misi kemanusiaan dan tindakan kecil dengan impak yang besar. 

Selagi ada kanak-kanak memerlukan anak patung seperti mereka, Amy akan terus menjahit, satu demi satu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram