[VIDEO] Macam dalam drama, suami nyanyi, menari depan isteri sepanjang koma, kini wanita warga China sudah mampu berjalan, berniaga


  • Cinta
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Youcai menyanyi dan menari setiap hari di hadapan isteri, dengan harapan kasih sayangnya dapat menyentuh jiwa wanita itu. — Agensi

SEBUAH kisah cinta dan kesetiaan menyentuh hati warga maya selepas seorang wanita yang koma selama berbulan-bulan akhirnya sedar selepas suaminya menyanyi dan menari untuknya setiap hari.

Deng Youcai, 30, berasal dari China menjadi tumpuan ramai selepas nekad menjaga isteri yang menderita kanser otak.

Pasangan itu bertemu buat pertama kali pada 2016 dalam majlis perkahwinan salah seorang rakan. 

Walaupun pada awalnya beberapa kali ditolak, Youcai tidak berputus asa dan akhirnya mengahwini Ye Meidi pada 2019, walaupun mengetahui wanita itu menghidap penyakit terminal (tidak dapat disembuhkan).

BACA LAGI: Malas pikul ‘beban’, suami zalim cerai isteri ketika sakit 

BACA LAGI: Ujian berat Ali XPDC, isteri, terlantar sakit di hospital menjelang Aidilfitri

Youcai berjanji akan menjaga isterinya sepenuh hati dan percaya mereka mampu menghadapi ujian kanser itu bersama-sama. 

Impian menjadi kenyataan apabila mereka dikurniakan seorang anak perempuan pada 2021.

Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila pada tahun berikutnya, Meidi disahkan menghidap glioma, sejenis tumor otak yang agresif. 

Selepas dua pembedahan, wanita berkenaan koma dan berada dalam keadaan vegetatif. 

Doktor memaklumkan peluang untuk beliau pulih semula amat tipis.

Dalam keadaan hampir berputus asa, Youcai membawa isterinya pulang ke rumah untuk dijaga sendiri. 

Meidi sudah mampu berjalan sendiri dan malah membantu menjual makanan di sebuah gerai kecil. — Agensi

Keluarga terdekat juga datang untuk mengucapkan selamat tinggal. Youcai merakam detik-detik pilu tersebut dan berkongsi di media sosial.

Tanpa disangka, perkongsian itu tular dan menyentuh hati orang ramai. Ribuan sumbangan diterima daripada netizen bagi membantu lelaki tersebut menanggung kos rawatan. 

Dengan semangat baharu, Youcai membawa isterinya semula ke hospital dan meneruskan rawatan intensif.

Tidak cukup dengan penjagaan fizikal, Youcai juga menyanyi dan menari setiap hari di hadapan isteri, dengan harapan kasih sayangnya dapat menyentuh jiwa wanita itu. 

Usaha luar biasa itu akhirnya membuahkan hasil apabila Meidi menunjukkan tindak balas hingga akhirnya sedar daripada koma.

Dua bulan selepas sedar, Meidi mula bertutur semula dan ungkapan pertama diucapkannya adalah 'terima kasih' kepada suaminya yang setia. 

Kini, Meidi sudah mampu berjalan sendiri dan malah membantu menjual makanan di sebuah gerai kecil, seperti yang dikongsikan dalam akaun Douyin pasangan itu.

“Saya tidak mahu beliau tinggalkan kami. Kami masih muda. Walaupun tidak mampu menjaga dirinya, beliau masih ada saya dan anak perempuan kami,” kata Youcai dalam hantaran di media sosialnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram