
KERJAYA sebagai juruterbang yang dahulunya didominasi oleh kaum lelaki kini mulai terbuka kepada wanita, apabila semakin ramai tampil menyerlah dalam industri penerbangan.
Juruterbang wanita kini bukan sahaja mampu mengendalikan pelbagai jenis pesawat komersial dan tentera, malah turut memegang jawatan penting dalam sektor penerbangan awam.
Perkembangan positif itu didorong oleh kesedaran terhadap kesaksamaan gender, sokongan institusi latihan penerbangan dan perubahan persepsi masyarakat terhadap peranan wanita dalam bidang tersebut.
BACA LAGI : Syukur dalam rindu, pensyarah cabar diri keluar zon selesa ketika imbau kenangan di awan biru
BACA LAGI : Join Muay Thai nak kurus, kini jadi jurulatih, buka gim seni bela diri untuk wanita
Malah, ramai juruterbang wanita hari ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang aeronautik dan kejuruteraan penerbangan.
Pramugari ke juruterbang
Vanessa menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari pada 2007 untuk menjalani latihan juruterbang komersial di Singapore Flying College. — Agensi
Bagi Kapten Vanessa Khaw, perjalanan menjadi juruterbang bukanlah mudah dan penuh dengan cabaran tersendiri.
Menurutnya, minat terhadap kerjaya itu mula berputik ketika beliau berkhidmat sebagai pramugari Singapore Airlines (SIA) pada 2004.
“Ketika itu, saya sering masuk ke kokpit untuk menyerahkan makanan kepada juruterbang. Melihat keindahan matahari terbit dari dek penerbangan menanam impian dalam diri saya untuk menjadi juruterbang agar dapat menikmati pemandangan itu setiap hari,” katanya.
Kini, selepas 15 tahun berkhidmat sebagai juruterbang dengan syarikat penerbangan tambang rendah Scoot (yang kini bergabung dengan Tigerair), Vanessa telah berpengalaman mengendalikan pesawat Airbus A320 dan A321.
Lebih membanggakan, tahun lalu beliau dilantik sebagai jurulatih penerbangan, bertanggungjawab melatih juruterbang baharu menyertai syarikat tersebut.
“Walaupun sudah bergelar kapten, saya sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari cabaran baharu.
"Menjadi pengajar adalah langkah seterusnya dalam kerjaya ini dan saya sangat menikmatinya,” ujarnya.
Untuk rekod, Vanessa merupakan antara 61 juruterbang wanita di bawah kumpulan SIA dan Scoot, iaitu hanya 1.9 peratus daripada keseluruhan 3,245 juruterbang dalam kumpulan tersebut.
Walaupun peratusan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun terdahulu, angka tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain, dengan India mencatatkan 14.4 peratus juruterbang wanita, manakala Australia melalui syarikat penerbangan Qantas melaporkan 7.5 peratus.
Vanessa bersama suaminya, Daniel yang juga seorang juruterbang. — Agensi
Sumber inspirasi
Vanessa menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari pada 2007 untuk menjalani latihan juruterbang komersial di Singapore Flying College. Sebahagian besar kos latihan ditanggung sendiri dengan bantuan pinjaman keluarga.
"Pada mulanya, ada yang meragui keputusan saya. Malah, ada ahli keluarga yang bimbang dan tidak menyokong kerana menganggap kerjaya juruterbang hanya sesuai untuk lelaki,” katanya.
Namun, segala usaha dan pengorbanannya membuahkan hasil apabila beliau diterima menyertai Tigerair pada 2010.
Vanessa turut menjadikan Kapten Vanessa Ess, wanita pertama menyertai program kadet SilkAir pada 2001 sebagai sumber inspirasi.
Kini, Vanessa hidup bahagia bersama suaminya yang juga seorang juruterbang dan dua anak perempuan mereka yang turut menunjukkan minat terhadap dunia penerbangan.
Dari seorang tentera udara ke juruterbang pesawat komersial
Wen Shan pernah berkhidmat selama 14 tahun dalam RSAF sebelum menjadi juruterbang pesawat komersial. — Agensi
Sementara itu, Pegawai Pertama Kanan Jetstar Asia, Lim Wen Shan, 45, turut mencatat kejayaan tersendiri selepas berkhidmat selama 14 tahun dalam Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).
Beliau beralih ke sektor penerbangan komersial pada 2019, selepas menyedari bahawa umur persaraan dalam tentera adalah 50 tahun berbanding 65 tahun dalam sektor awam.
Menurutnya, proses penukaran lesen juruterbang tentera ke lesen komersial dijalankan di Amerika Syarikat dengan kos sekitar USD60,000 (kira-kira RM282,000).
"Walaupun kosnya tinggi, ia masih lebih murah daripada memulakan kerjaya sebagai kadet baharu," katanya yang kini menerbangkan pesawat komersial ke pelbagai destinasi termasuk China.
Wen Shan (kanan) ketika berkhidmat di RSAF. — Agensi
Wen Shan mengakui bahawa suatu ketika dahulu, juruterbang wanita sukar diterima oleh syarikat penerbangan tempatan.
Namun, dengan ketekunan dan usaha gigih, beliau kini mampu membawa ibunya menaiki pesawat yang dikendalikannya
Antara cabaran lain kongsinya, termasuk ruang udara Singapura yang terhad sehingga memaksa ramai juruterbang menjalani latihan di luar negara, selain kekurangan tokoh wanita dalam industri tersebut untuk dijadikan inspirasi oleh generasi baharu.
Kini, selepas 19 tahun berkecimpung dalam dunia penerbangan, Wen Shan bersyukur dapat membawa ibunya ke Wuxi, China dalam pesawat yang dikendalikannya sendiri.
Kisah dua juruterbang ini membuktikan walaupun bidang penerbangan penuh dengan cabaran, semangat juang dan keazaman tinggi mampu membuka laluan buat wanita untuk terus maju dalam kerjaya yang selama ini dianggap eksklusif untuk kaum lelaki.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram