
SIAPA tidak sedih apabila hasil kerja diusahakan dengan penuh kasih sayang, dipandang rendah dan disamakan pula dengan sesuatu yang dianggap tidak menarik?
Itu dialami seorang usahawan kek apabila pavlova dihasilkan untuk sebuah majlis perkahwinan dikatakan seperti kain buruk oleh salah seorang tetamu.
Kejadian di Pahang itu berlaku ketika wanita dikenali sebagai Farrah, sedang mendekorasi kek bersaiz 20 inci berkenaan di atas meja semasa majlis berlangsung.
BACA LAGI: Pokok kemboja cantik tapi akar rosakkan struktur bangunan? Arkitek landskap perjelas fakta sebenar
"Jom siapkan kek bersama saya. Edisi kek perkahwinan pavlova 20 inci (gaya Itali)," tulisnya dalam rakaman video dimuat naik menerusi akaun TikTok faralidelicacies.
Selain dibantu ibunya, kerja beliau turut diperhatikan jurufoto dan beberapa tetamu lain.
Pada saat wanita berkenaan sibuk menyiapkan sentuhan akhir kek berkonsepkan rustic Italian style itu, suasana tiba-tiba menjadi janggal apabila seorang lelaki tidak dikenal pasti identitinya bersuara dan menyamakan kek tersebut dengan kain buruk.
“Sekali pandang macam kain berponjot gitu. Itulah yang saya tanya dia tadi apa benda ini? Dia beritahu kek, saya ingat kain buruk,” katanya sambil tertawa.
Farrah yang mendengar komen tersebut hanya mendiamkan diri dan menahan sebak.
Menerusi ruangan komen, wanita itu menjelaskan, kek tersebut dibuat mengikut permintaan pengantin perempuan sendiri, termasuk permukaan krim tidak dipaipkan dan susunan buah yang minimum.
“(Saya) terima saja komen orang, lain orang lain cita rasa tapi boleh cakap elok-elok. Nak buat macam mana, pengantin perempuan nak (pavlova) leper, krim tak paip, buah dua jenis saja, tidak mahu susun elok-elok.
"Bajet, duit, selera dia… macam-macam lagi lah. Kalian ini pandai komen saja. Takkan lah saya sengaja nak buat hodoh-hodoh untuk perkahwinan orang,” luahnya.
Perkongsian tersebut menerima sokongan ramai warga maya yang mempertahankan hasil kerja Farrah dan mengkritik sikap tetamu lelaki berkenaan.
"Sebagai pembuat kek sepanjang hidup (sekarang dah berhenti), awak memang buat kerja yang sangat bagus! Ini memang pavlova gaya rustic!
"Awak hasilkan dengan cara yang sepatutnya. Kadang-kadang susah nak tahan dengan mulut orang sekeliling, tapi percayalah awak memang buat kerja sangat baik kali ini," tulis NajwaNazam.
"Kadang pelik dengan orang-orang tua ni. Nak kita hormat mereka tapi bahasa dan percakapan sendiri tak jaga. Makanan kan? Apa yang nak disamakan dengan kain buruk?” soal LittleMeDead_. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram