
PAKAR bedah plastik terkenal, Dr. Terry Dubrow tampil memberi peringatan kepada golongan muda yang berhasrat untuk menjalani pembedahan kosmetik selepas bintang sensasi, Kylie Jenner mendedahkan butiran mengenai prosedur pembesaran payudaranya di media sosial.
Dalam temu bual bersama TMZ pada Rabu, bintang rancangan realiti Botched itu berkata, beliau menghargai keterbukaan Jenner yang mengakui menjalani pembedahan, namun turut menekankan kepentingan untuk memberi amaran tentang risikonya.
“Saya gembira beliau mengaku melakukannya, tetapi setahun lalu Jenner pernah kata dirinya menyesal.
"Malah rakannya, Stassie Karanikolaou pun bercakap perkara yang sama.
"Jadi mesej yang beliau sampaikan sepatutnya bukan sekadar pengakuan, tapi juga satu peringatan,” katanya.
BACA LAGI: Hari Arafah setahun sekali, 6 pilihan doa mustajab untuk ibu bapa titipkan buat anak tercinta
BACA LAGI: Doa senjata ampuh bagi setiap hamba ALLAH dalam mendepani realiti kehidupan
Jenner mengaku melakukan pembedahan sebelum melahirkan Stormi (kanan). — Instagram/kyliejenner
Jenner, yang kini berusia 27 tahun, dikatakan melakukan pembesaran payudara ketika berumur 19 tahun.
Menurut Dr. Dubrow, ketika itu personaliti tersebut terlalu muda untuk membuat keputusan besar seperti itu.
Jelasnya, apabila selebriti seperti Jenner yang berpengaruh mengaku melakukannya, ramai akan terdorong mengikut jejak beliau.
"Sebab itu penting untuk beliau berkata, ‘mungkin saya tak patut buat seawal itu',” ujarnya.
Dr. Dubrow turut mengingatkan bahawa pembedahan plastik bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan dan harus dianggap serius seperti prosedur perubatan lain.
“Penting untuk kaji sama ada ia sesuai untuk anda, fahami risiko dan buat keputusan yang matang.
“Pembedahan plastik bukan soal suka-suka. Ia sangat serius,” tegas beliau.
Walaupun sebelum ini cukup berahsia mengenai prosedur tersebut, Jenner akhirnya membuka cerita dalam satu episod The Kardashians pada 2023, memaklumkan beliau melakukan pembesaran payudara sebelum melahirkan anak sulungnya, Stormi, kini berusia tujuh tahun.
Tangkap layar komen Jenner berhubung prosedur pembedahan payudaranya di aplikasi TikTok. — Agensi
Dalam temu bual bersama W Magazine, Jenner turut meluahkan penyesalannya berhubung hal tersebut.
“Buat pembedahan sebelum (melahirkan) Stormi, tak sangka saya akan ada anak pada usia 20 tahun. Masa itu pun masih dalam pemulihan.
“Saya dulu sudah ada bentuk payudara yang cantik, saiz sempurna, semuanya elok. Saya benar-benar harap tak pernah lakukannya.
“Saya nak jadi contoh terbaik buat Stormi. Kalaulah saya boleh ubah segalanya dari awal, saya takkan sentuh apa-apa pun,” ujarnya lagi.
Sebelum pendedahan tersebut, Jenner menafikan desas-desus mengenai pembedahan payudara dan menyatakan perubahan bentuk tubuhnya hanya disebabkan faktor hormon atau bra Bombshell daripada jenama pakaian dalam mewah, Victoria’s Secret.
Bagaimanapun, situasi menjadi hangat kembali selepas baru-baru ini, pengasas Kylie Cosmetics itu membalas pertanyaan seorang peminat di aplikasi TikTok yang bertanyakan secara spesifik tentang prosedur payudaranya.
"445 cc (sentimeter padu), profil sederhana, separuh di bawah otot. Silikon!” tulisnya di ruangan komen pada 3 Jun lalu.
Malah, beliau turut mendedahkan nama pakar bedahnya, Dr. Garth Fisher daripada Beverly Hills dan menutup komen itu dengan nada berseloroh.
“Harap ini membantu, lol (laugh out loud),” tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram