Hari Arafah setahun sekali, 6 pilihan doa mustajab untuk ibu bapa titipkan buat anak tercinta


  • Cinta
  • Khamis, 05 Jun 2025

Doa itu menjadi asas pembentukan akhlak mulia dalam diri anak. — Gambar Hiasan

HARI Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah merupakan salah satu hari paling agung dalam Islam. 

Ia bukan sahaja hari wukuf bagi para jemaah haji, tetapi juga waktu paling mustajab untuk umat Islam di seluruh dunia menadah tangan dan bermunajat kepada ALLAH SWT.

Bagi ibu bapa, Hari Arafah adalah peluang keemasan untuk memohon doa yang terbaik buat anak-anak agar mereka membesar menjadi insan yang soleh, berilmu dan berakhlak mulia.

BACA LAGI: Tak perlu menunggu lama, saintis berjaya cipta ujian ultra pantas yang boleh kenal pasti jenis tumor otak dalam masa 2 jam

BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang

Berikut adalah enam doa yang diajarkan oleh para Nabi dan Rasul, yang sangat dianjurkan untuk diamalkan oleh ibu bapa terutamanya pada Hari Arafah:

1. Doa Agar Anak Menjadi Soleh

Doa Nabi Ibrahim a.s.

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh." (Surah Ash-Shaffat: 100)

Doa itu menunjukkan pengharapan penuh kepada ALLAH agar dikurniakan zuriat yang bukan sekadar hadir di dunia tetapi menjadi insan soleh. 

Anak soleh merupakan aset berpanjangan yang akan terus mendoakan ibu bapanya walaupun setelah mereka tiada.

Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya. (HR. Muslim)

Anak yang faqih akan menjadi insan yang bijak membuat keputusan berasaskan ilmu dan iman.  Gambar Hiasan

2. Doa Agar Anak Menjadi Hamba yang Bersyukur

Doa Nabi Sulaiman a.s.

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ...

"Ya Tuhanku, ilhamkanlah aku untuk tetap bersyukur atas nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku..." (Surah An-Naml: 19)

Anak yang tahu bersyukur lebih menghargai kehidupan dan lebih dekat dengan ALLAH.

"Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu." (Surah Ibrahim: 7)

3. Doa Agar Anak Memahami Ilmu Agama dengan Mendalam

Doa Rasulullah SAW untuk Ibn Abbas

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ

"Ya ALLAH, fahamkanlah dia dalam agama dan ajarkanlah tafsir Al-Qur’an kepadanya." (HR. Bukhari)

Doa itu mendidik anak agar memahami agama secara mendalam, bukan hanya melalui hafalan, tetapi juga penghayatan. 

Anak yang faqih akan menjadi insan yang bijak membuat keputusan berasaskan ilmu dan iman.

Hari Arafah adalah peluang keemasan untuk memohon doa yang terbaik buat anak-anak.  Gambar Hiasan

4. Doa Agar Anak dan Keturunan Menjaga Solat

Doa Nabi Ibrahim a.s.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي...

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan zuriatku termasuk dalam kalangan orang yang tetap mendirikan solat." (Surah Ibrahim: 40)

Memohon kepada ALLAH agar anak dan cucu sentiasa menjaga tiang agama. Solat adalah penentu baik atau buruknya amal seseorang.

Rasulullah SAW bersabda:

"Amalan pertama yang dihisab pada hari kiamat adalah solat. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalannya." (HR. Ath-Thabrani)

5. Doa Agar Anak Memiliki Akhlak yang Mulia

اللّهُمَّ اهْدِنِي لأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ...

"Ya ALLAH, tunjukkanlah aku kepada akhlak yang terbaik. Tidak ada yang dapat menuntun kepadanya kecuali Engkau." (HR. Muslim)

Doa itu menjadi asas pembentukan akhlak mulia dalam diri anak.

Anak yang jujur, sopan dan penyayang akan disayangi ramai serta memberi kebanggaan kepada ibu bapanya.

Akhlak mulia adalah tanda keimanan dan merupakan warisan paling bernilai daripada ibu bapa.

6. Doa Agar Anak Tidak Malas, Disucikan Jiwanya dan Diberi Hati yang Khusyuk

اللَّهُمّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ...

"Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan... Berikanlah pada jiwaku ketakwaannya dan sucikanlah ia..." (HR. Muslim no. 2722)

Doa itu memohon perlindungan daripada sifat negatif seperti malas, tidak khusyuk dan tamak.

Ia juga memohon agar anak sentiasa berada dalam keadaan jiwa yang bersih dan dekat dengan ALLAH.

Hati yang bersih dan ilmu yang bermanfaat adalah kunci kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.   Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di  Twitter ,  Facebook ,  Instagram ,  WhatsApp Channel  dan  Telegram