SIAPA sahaja tidak mengenali figura terkenal Hollywood, Kim Kardashian. Seorang personaliti media, usahawan dan ikon budaya pop yang berasal dari Amerika Syarikat (AS).
Kim Kardashian mengakui sering menerima kritikan mengenai kelayakannya dalam menguruskan pelbagai perniagaan seperti jenama kecantikan, pakaian dalam dan firma ekuiti persendirian.
Namun, selebriti yang dikenali dengan kehidupan keluarga yang penuh glamor dan drama itu tidak menjadikan kecaman sebagai halangan untuknya membina nama, sebaliknya menggunakan kritikan tersebut sebagai motivasi agar terus maju.
Menerusi satu temu bual eksklusif The David Rubenstein Show: Peer to Peer Conversations pada tahun lalu, Kim, 43, mendedahkan bahawa dia ada kalanya kurang yakin dengan kebolehannya, terutama di tengah perbincangan skeptikal mengenai peranannya di bilik mesyuarat.
“Saya sentiasa rasa ragu-ragu (dengan kebolehan), namun perasaan yang timbul itu saya gunakan sebagai motivasi untuk fokus dan bekerja lebih keras.
“Ia membuatkan saya rasa seperti saya perlu membuktikan lebih banyak perkara,” katanya.
Kim kini membuktikan bahawa usaha dan fokusnya membuahkan hasil. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia berjaya membangunkan empayar perniagaan yang mengagumkan.
Coty Inc telah membeli sebahagian saham jenama penjagaan kulit miliknya, SKKN by Kim, dengan nilai mencecah dolar Amerika Syarikat (AS$) 200 juta (kira-kira RM890 juta).
Dalam temu bual tersebut, Kardashian turut berkongsi pandangan tentang persaingan dengan adik tirinya Kylie Jenner serta perjalanan dirinya untuk menjadi peguam bagi mengikuti jejak mendiang bapanya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kim berjaya membangunkan empayar perniagaan yang mengagumkan.
Anda telah membina beberapa perniagaan, tetapi banyak keraguan timbul sepanjang perjalanan. Bagaimana perkara itu memberi impak kepada anda?
Saya sentiasa menjadikan keraguan sebagai motivasi dan sehingga kini masih kurang yakin tentangnya. Namun saya yakin terhadap jenama ini kerana saya suka mencipta dan melancarkan jenama serta keseluruhan prosesnya. Saya sentiasa merasakan debaran yang sihat apabila melancarkan sesuatu, terutamanya pada hari pelancaran produk.
Adakah terdapat persaingan antara anda dan adik-beradik anda?
Kylie dan saya sama-sama berada dalam industri kecantikan, tetapi kami tidak bersaing. Kami menganggap jenama masing-masing sangat berbeza dan mempunyai demografi yang berbeza.
Sebaliknya, kami saling memberi motivasi dan bekerja dengan cara yang sangat tertutup. Jika benar-benar teruja tentang sesuatu barulah kami akan berkongsi tentang proses itu. Namun, ia jarang berlaku sekarang, semuanya hanya fokus pada kerja masing-masing.
Adakah anda menguji semua produk sendiri?
Ya saya memang banyak terlibat (dalam proses uji kaji). Hingga hari ini, untuk Skims, saya masih menjadi model fit kami. Saya sangat teliti tentang kesesuaian cara pemakaian. Saya memilih fabrik, mencipta semua pemasaran, hingga kepada rekaan pembungkusan, font, kempen, jurugambar dan formula setiap produk. Saya mesti terlibat 100 peratus.
Kim berhasrat untuk membantu lebih ramai orang dengan sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan peguam lain.
Anda sangat rapat dengan bapa, Rob, yang meninggal dunia akibat kanser ketika anda berusia 20-an. Mendiang merupakan seorang peguam terkenal. Adakah itu yang mendorong anda untuk menjadi seorang peguam?
Ya, betul. Melihat dirinya setiap hari, dia akan bangun, pergi bekerja, menghantar kami ke sekolah, kemudian pulang untuk makan malam. Saya melihat betapa kerasnya dia bekerja dan etika kerjanya benar-benar menginspirasikan saya, terutama dalam pembelajaran undang-undang. Saya harap dia bangga dengan saya.
Anda telah menjadi penyokong pembaharuan dalam keadilan jenayah dan pernah membantu memaafkan dan meringankan hukuman beberapa individu. Adakah itu masih menjadi minat anda?
Ia sememangnya menjadi minat saya dan akan terus begitu. Itulah yang mendorong saya untuk menamatkan pengajian di sekolah undang-undang, supaya dapat membantu lebih ramai orang dengan sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan peguam lain.
Ia adalah gabungan beberapa perkara, yakni keinginan menjadikan dunia lebih baik untuk anak-anak saya dan memastikan mereka tidak membesar dengan banyak kisah menyedihkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram