
BARU-BARU ini kecoh mengenai pendedahan seorang wanita yang memutuskan pertunangan selepas mendakwa jejaka tersebut hanya mempunyai RM500 dalam akaun banknya.
Kisah itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen dengan ada yang mengkritik tindakan wanita tersebut sebagai materialistik.
Tidak kurang juga yang mempertahankan keputusannya memandangkan keperluan hidup hari ini semakin mencabar dan segalanya memerlukan wang.
BACA LAGI: Isteri boleh ambil wang jika suami tak beri nafkah
Namun, bagi pelakon dan model, Alicia Amin, sebagai wanita, cara seorang lelaki khususnya bakal suami menguruskan kewangan jauh lebih penting daripada jumlah wang dimilikinya.
“Ramai tahu saya dan bekas suami masih berhubungan baik, tetapi itu hanya berlaku kerana kami berdua memilih untuk berundur sebelum hubungan menjadi terlalu buruk.
"Kami tidak serasi sebagai pasangan hidup dan paling ketara ialah cara menguruskan kewangan,” katanya menerusi satu perkongsian di aplikasi Threads miliknya, hangriii pada Khamis.
Keperluan hidup hari ini semakin mencabar dan segalanya memerlukan wang.
Menurut Alicia, isu dalam sesebuah perhubungan bukan hanya tentang pihak yang perlu bayar lebih mahupun konsep pembahagian 50/50.
Jelasnya, paling penting adalah kemampuan untuk menghormati dan melaksanakan pelan kewangan secara bersama.
“Kalau hanya seorang ikut perancangan dan seorang lagi rasa dia tahu cara yang lebih baik lalu tak ambil serius, ia boleh jadi punca perasaan tidak puas hati dan akhirnya meletup,” katanya.
Bintang drama Andai Tiada Dia itu menambah, pasangan perlu selari dari segi perancangan kewangan kerana walaupun situasi hidup boleh berubah dan dugaan datang tanpa dijangka, segala keputusan berkaitan wang perlu dibincang serta dipersetujui bersama.
"Contohnya, jika seseorang rasa tidak perlu menyimpan sekarang kerana yakin akan dapat kenaikan gaji atau peluang lebih baik kelak, keputusan tersebut perlu dipersetujui kedua-dua pihak sebelum dilaksanakan.
“Wang bukan segalanya, tetapi ia mencerminkan sejauh mana pasangan menghormati batas dan kehendak masing-masing.
"Seorang lelaki beri kurang daripada apa yang wanita layak terima, sama seperti wanita ambil lebih daripada kemampuan lelaki tersebut,” ujarnya lagi.
Bagi Alicia, sekiranya kedua-dua pihak saling menyokong, tidak penting isu siapa beri lebih, sebaliknya keselesaan dan kebahagiaan pasangan jadi keutamaan.
Sementara itu, pelakon dan usahawan, Ika Nabella secara terbuka menolak konsep perkahwinan 50/50 yang dianggap bertentangan dengan keseimbangan hakiki ditetapkan dalam Islam.
Menurut beliau, apabila kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing, barakah akan memenuhi rumah tangga.
Ika Nabella menolak konsep perkahwinan 50/50 yang dianggap bertentangan dengan keseimbangan hakiki ditetapkan dalam Islam. — Instagram/ikanabella
“50/50 dalam perkahwinan? Siapa ajar? Suami 100 peratus sebagai penyara dan pemimpin. Isteri pula 100 peratus taat dan 1000 peratus comel! Ini bukan matematik moden, ini keseimbangan Ilahi," ujarnya.
Beliau turut menyentuh soal isteri yang tidak menyumbang dari segi kewangan, tetapi tetap mendapat layanan istimewa daripada suami.
“Isteri yang tak pernah keluar satu sen tapi masih dilayan macam permaisuri? Tak salah pun.
"Taat, disayangi, dimanjakan, pahala tetap mengalir macam profesional.
“Kalau awak rasa 50/50 itu terbaik untuk awak, teruskan. Saya cuma kongsi cara kami dan ia berfungsi untuk kami,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram