SEORANG isteri diharuskan untuk mengambil wang suami sekadar perlu untuk keperluan dirinya dan anaknya, sekiranya suaminya tidak memberi nafkah yang sepatutnya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, situasi itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh Aisyah.
Katanya, suatu hari Hindun binti 'Utbah iaitu isteri kepada Abu Sufyan datang menemui Rasulullah SAW untuk mengadu perihal suaminya.
Kata beliau: "Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?
Sabda Rasulullah SAW: "Ambillah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau," — Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Ketika mensyarahkan hadith ini, Imam al-Nawawi berkata, antara kebaikan yang boleh diambil daripada hadith ini adalah barang siapa yang ada hak yang sepatutnya diberikan kepadanya dalam keadaan suaminya tidak memberikan haknya (iaitu nafkah), maka harus bagi isterinya mengambil haknya sekadar keperluan tanpa izin suaminya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, umat Islam boleh memahami bahawa hadith berkenaan menekankan kewajiban seorang suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.
"Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-San'ani di dalam kitabnya Subul al-Salam," katanya.
Namun, pejabat itu berkata, perlu diingatkan bahawa isteri dibenarkan untuk mengambil wang sekadar keperluan hanya jika suami tidak memberikan nafkah.
Kata pejabat itu, sekiranya suami memberi nafkah yang secukupnya, maka isteri tidak boleh mengambil wang tanpa izin daripada suami.
"Kami cadangkan agar duit yang diberikan oleh suami itulah yang digunakan untuk diberikan kepada ibu bapa.
"Kedua, jika duit itu hanya cukup untuk keperluan puan (isteri) dan anak-anak, dalam keadaan puan ingin juga memberikan kepada ibu bapa, maka berbincanglah secara baik dengan suami. Perbuatan isteri yang mengambil secara rahsia tanpa pengetahuan suami ditakuti akan mengeruhkan rumah tangga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram