KALAU sebut pasal gubahan bunga, ramai yang membayangkan ia mungkin kerja berkaitan 'mak andam' atau hiasan majlis kahwin semata-mata.
Tapi siapa sangka, seorang bekas pemain bola sepak negeri mampu menjadi antara nama besar dalam dunia gubahan bunga, bukan sahaja di Malaysia, malah sampai ke pentas antarabangsa.
Itulah kisah unik Mohd Azmy Osman yang kini dikenali sebagai 'Pakar Bunga Negara' satu pengiktirafan rasmi di bawah Kementerian Sumber Manusia kerana kepakarannya dalam melatih peserta ke pertandingan WorldSkills Competition, sebuah Olimpik dalam bidang kemahiran kerja.
BACA LAGI: Spa hingga pawagam peribadi, mengintai kediaman penuh privasi golongan 'kayangan' di India
"Saya mula main bola dari sekolah rendah, wakil negeri bawah 12, 14, 16, sampai ke bawah 23. Saya wakili KL, Selangor, Polis, Negeri Sembilan.
"Tapi selepas zaman kegawatan ekonomi, saya fikir balik, apa nak jadi dengan hidup aku ini," kata Azmy kepada Majoriti.
Dengan semangat untuk membina hidup baharu, Azmy berhijrah ke London sekitar tahun 2000 dan bekerja secara sambilan di Covent Garden, pasar bunga tersohor di United Kingdom (UK).
Bermula sebagai pekerja angkat sampah, dia kemudian nekad mengambil kelas kursus pendek dalam bidang gubahan bunga, dengan menggunakan duit hasil kerja kerasnya.

Antara gubahan bunga yang sempat dikongsikan Azmy.
Namun siapa sangka, skilnya menarik perhatian ramai sehingga mendapat peluang melaksanakan projek bersama Buckingham Palace, istana rasmi mendiang Ratu Elizabeth II.
“Orang kulit putih lihat kita kerja rajin, laju buat kerja. Dia kata, awak sangat kuat, dari situ saya dapat kepercayaan buat event besar termasuk dengan istana," ceritanya.
Selepas 11 tahun berulang-alik UK-Malaysia, Azmi pulang dan mula mengajar dalam bidang floristry, sambil buat gubahan untuk tokoh-tokoh negara, istana negara dan majlis rasmi.
Katanya, skil gubahan bunga di Malaysia belum dimanfaatkan sepenuhnya kerana masih ramai memandang rendah dan menganggap kerja itu tak glamor.

Azmy sedang mengajar pelajar cara-cara mengubah bunga.
"Gubahan bunga bukan sekadar kahwin. Orang lahir (anak) pun dapat bunga, orang meninggal pun. Bunga itu terapi. Apaila kita tengok bunga pun tenang. Haiwan pun suka bunga, apatah lagi manusia," ujarnya.
Azmy mengakui, stigma terhadap seni gubahan bunga sebagai kerja 'mak andam' masih wujud, tetapi ia semakin beransur hilang.
Kini, ramai anak muda tampil bergaya di media sosial sambil membawa jambangan bunga.
"Nak jadi florist, hati kena kental. Kalau orang tegur, jangan koyak. Kena terus belajar, buat sampai jadi," pesannya.
Azmy kini mengajar di School of Floral Design dan aktif berkongsi ilmu di TikTok, Instagram dan Facebook.
"Siapa-siapa yang minat boleh datang belajar, tak perlu formal sangat, tengok konten pun dah boleh contohi," ujarnya.
Nak Jadi Pakar Bunga? Ini Nasihat Azmy:
Attitude nombor satu – Tak kira skil tinggi mana, kalau tak boleh terima teguran, susah nak maju.
Jujur dan ikhlas – Buat sebab minat, bukan sebab glamor.
Belajar dari kesilapan – Salah tak apa, yang penting jangan putus asa.
Tekun dan sistematik – Floristry bukan seni semata, ia juga perlukan disiplin macam kerja profesional lain.

Antara gubahan bunga yang dibuat oleh Azmy.
Azmy percaya Malaysia mempunyai ramai bakat dalam bidang itu, cuma perlu didedahkan dan dibimbing secara betul.
"Orang kulit putih ambil masa empat bulan untuk siapkan satu majlis, orang Malaysia? Satu hari sahaja boleh siapkan transformasi besar-besaran. Kita ada kemahiran, tapi kurang sistem. Itu sahaja beza," tegasnya.
Dengan pengalaman lebih dua dekad di dalam dan luar negara, Azmy membuktikan bahawa kerjaya dalam bidang floristry bukan sekadar ‘kerja perempuan’ atau hiasan sebaliknya, ia satu bidang profesional yang luas.
Bahkan jika ia diusahakan dengan betul, ia mampu menjana pendapatan selain memberi ketenangan serta kepuasan kepada jiwa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
