Ramai suami tak tahu, ibu susukan anak berhak terima upah — Kaunselor Laktasi


  • Bonda
  • Selasa, 20 Mei 2025

Pemberian upah dalam perkahwinan itu bukan satu kewajipan tetapi satu bentuk ihsan yang terpuji. — Gambar Hiasan

DALAM diam, ramai wanita memikul tanggungjawab yang berat iaitu menyusukan anak dengan penuh kasih sayang walaupun kadangkala terpaksa mengorbankan tidur, tenaga, masa dan emosi.

Namun, berapa ramai yang benar-benar mengiktiraf nilai pengorbanan itu?

Perkongsian kaunselor laktasi, Nadmasrom di laman Threads baru-baru ini membuka perbualan jarang disentuh secara terbuka iaitu soal upah untuk isteri yang menyusukan anak.

Hukum isteri meminta upah menyusukan anak seperti yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Dalam hantaran tersebut, beliau berkongsi pengalamannya berbual dengan seorang pemandu Grab yang dengan jujur meluahkan pandangannya terhadap pengorbanan isterinya.

"Susu formula paling kurang RM600 sebulan. Saya ada dua anak. Adik saya cakap, isteri saya patut dapat minimum RM1,200 sebulan untuk upah menyusu saja.

"Belum masuk upah jaga anak iaitu kalau pengasuh, RM400 seorang sebulan. Dua anak, dah RM800. Jadi sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan,” kata si pemandu.

Nadmasrom yang mendengar luahan itu mengakui jarang sekali ayah yang sanggup menilai tinggi pengorbanan isteri seperti itu.

"Bagus Encik. Tak ramai suami fikir macam ni. Ramai anggap beri susu ibu tu jimat padahal kos tersembunyi jauh lebih besar iaitu beli pam, beg simpan susu, suplemen, masa, tenaga, emosi,” tulis beliau.

Menurut Nadmasrom, dalam Islam, ibu yang menyusukan anak walaupun anak kandung sendiri sebenarnya berhak menerima upah terutamanya dalam kes perceraian atau tempoh iddah.

Dalam perkahwinan yang masih berlangsung, pemberian itu bukan satu kewajipan tetapi di anggap satu bentuk ihsan terpuji.

"Suami tak wajib beri upah jika masih dalam perkahwinan, kerana memberi nafkah itu sudah tanggungjawab suami.

"Tapi kalau suami nak beri upah tambahan sebagai tanda penghargaan, itu sangat mulia," jelasnya sambil memetik taudhih al-HUKM daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Namun yang lebih menyentuh hati, ramai wanita membalas hantaran tersebut dengan mengatakan bahawa mereka tidak mengharapkan ganjaran dalam bentuk wang, sebaliknya lebih menghargai keprihatinan suami dalam bentuk sokongan emosi dan bantuan harian.

"Suami saya bangun awal, kemas rumah sebelum kerja, siapkan sarapan, tolong jaga anak. Setiap minggu kami keluar makan.

"Bukan nak menunjuk, tapi nak tunjuk masih ada lelaki yang ada common sense," kata Alya.amrzhr.

"Masa anak kedua menyusu, saya cakap lapar pukul 12.30 pagi. Suami terus tanya nak makan apa dan keluar beli. Masa tu kek cheese leleh tengah viral dan katanya kalau makan kek tu susu jadi meriah. Dia siap bagi duit untuk buat stok," kata Mizaharun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram