
PASTI kebanyakan ibu bapa pernah melalui fasa di mana anak mereka gemar mengutip pelbagai objek kecil yang terdapat di lantai seperti kayu, daun, dan batu.
Fenomena ini lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur sekitar tiga hingga empat tahun.
Malah, ada yang bukan sekadar mengutip, tetapi turut membawa pulang objek-objek kecil tersebut setiap hari dan menjaganya seperti ‘harta karun’.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakan jadi 'mangsa' hobi Mek Zaa, sanggup luang masa hingga 3 jam demi melukis inai
Tingkah laku dan keinginan untuk mengumpul dan memburu ketika usia tiga hingga empat tahun.
Pakar keluarga dan penulis buku dari Jerman, Nicola Schmidt, menjelaskan bahawa ‘harta karun’ yang dikumpul oleh kanak-kanak ini sebenarnya berkait rapat dengan naluri semula jadi manusia.
Beliau turut memberikan beberapa saranan kepada ibu bapa tentang cara menetapkan had terhadap apa yang mungkin dilihat sebagai kecenderungan menimbunkan barang.
Kenapa barang yang dikutip amat bermakna buat si kecil?
Menurut Schmidt, manusia secara asasnya adalah pemburu dan pengumpul sejak lebih dua juta tahun yang lalu.
“Ini bermaksud kita secara semula jadi suka mengumpul pelbagai benda. Hubungan yang anak-anak cipta dengan objek yang mereka kutip sering kali tidak dapat difahami oleh orang dewasa.
“Apabila kita bertanya apa yang mereka jumpa, kita akan mendengar cerita-cerita luar biasa tentang sebab batu itu penting bagi mereka, apa keistimewaannya dan sebagainya. Saya percaya ini adalah sebahagian daripada fitrah manusia,” katanya.
“Tabiat mengumpul dan memburu ini adalah sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak berumur tiga hingga empat tahun. Maka, kita sepatutnya membenarkan mereka melakukannya,” ujar beliau.
Namun begitu, ibu bapa mungkin akan mendapati rumah mereka dipenuhi dengan beratus-ratus biji buah berangan, atau koleksi batu anak yang semakin membesar.
Kaedah mengawal tabiat mengutip barang
Schmidt menyarankan agar ibu bapa mendidik anak untuk memulangkan semula barang-barang tersebut kepada alam semula jadi.
“Jika mereka hidup secara nomad, mereka tidak akan mampu membawa semua barang itu ke mana-mana. Kita hanya boleh berbuat demikian kerana kita hidup menetap.
“Maka, ajarlah anak-anak dengan memberi penerangan mudah seperti, ‘Barang-barang seperti buah, kayu yang sudah kering, atau batu-batu kecil, perlu dipulangkan semula ke hutan atau ke tempat asal ia diambil.’
“Mereka boleh kembali ke situ semula sekiranya perlu. Ini termasuk batu-batu, ranting-ranting dan lain-lain yang boleh diletakkan kembali di tempat yang sesuai,” jelasnya.
Kajian membuktikan, galakan seperti ini mempunyai kesan sampingan yang sangat baik untuk perkembangan kanak-kanak.
Mereka akan belajar tentang kitaran alam semula jadi, memahami konsep mengambil dan memberi, serta penggunaan sumber secara bertanggungjawab. Ia juga membentuk kesedaran awal terhadap kelestarian alam sejak usia muda. — The Star/ AGENSI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram