Bukan 'double standard', catatan tahap pendidikan pada buku kesihatan bantu komunikasi antara doktor dan ibu


  • Bonda
  • Rabu, 04 Jun 2025

Rekod kesihatan misalnya buku 'pink' antara yang mengutamakan tahap pendidikan pesakit. — Gambar hiasan

TAHAP pendidikan dalam buku rekod kesihatan bukanlah bertujuan untuk menghakimi, tetapi sebagai langkah penting memastikan penjagaan kesihatan pesakit dapat diberikan secara berkesan bersesuaian dengan latar belakang mereka.

Sering dipandang remeh oleh sesetengah pihak, maklumat itu sebenarnya menjadi panduan penting kepada petugas kesihatan terutamanya doktor dan jururawat dalam menyesuaikan cara komunikasi serta pendekatan rawatan.

Bahkan, buku rekod ibu mengandung ataupun buku 'pink' juga turut memerlukan perakuan tahap pendidikan pesakit walaupun sekadar di tahap pendidikan sekolah.

BACA LAGI:  Panduan ibu hamil, ketahui 10 istilah perubatan dalam 'buku pink'

BACA LAGI: [VIDEO] Kongsi perjuangan ibu menyusu, Tya Arifin bawa stok susu badan terbang ke Malaysia

Hangat diperkatakan di laman sosial Threads, beberapa individu dipercayai ahli perubatan dan jururawat negara tampil menjelaskan kepentingan perkara tersebut.

"Bukan untuk 'judge', tapi untuk kami jelaskan dengan lebih baik, terutamanya kepada ibu yang datang dari latar belakang kurang berpendidikan.

"Banyak yang perlu diterangkan untuk keselamatan ibu dan anak," kata @mumunamir.

Namun, menurutnya ramai ibu dari latar belakang kurang berpendidikan sebenarnya lebih mudah menerima dan memahami penerangan berbanding mereka yang berpendidikan tinggi, yang kadang-kadang datang dengan sikap lebih skeptikal atau ego dalam menerima nasihat doktor.

Sektor perubatan negara sentiasa mengutamakan kaedah berkesan dalam penyampaian maklumat terhadap pesakit. — Gambar hiasan

Bukan semua pesakit sama

Fakta bahawa pesakit datang daripada pelbagai latar belakang dari usia muda ke golongan berusia, dari bandar hingga ke kawasan pedalaman menuntut petugas kesihatan untuk mempunyai maklumat asas bagi melakukan semakan sistem 'profiling'. 

Ini membolehkan pendekatan rawatan yang lebih berkesan dan komunikasi sesuai digunakan.

"Contohnya, jika pesakit adalah daripada komuniti Orang Asli dan tidak mempunyai latar pendidikan, staf kesihatan kena bersedia guna bantuan visual atau jurubahasa. 

"Kalau kita terus guna istilah perubatan, tak sampai mesejnya," jelas @yussairikhairil.

Rawatan sama, penjelasan berbeza

Pun begitu, tahap pendidikan pesakit tidak menjejaskan jenis rawatan yang diterima di hospital. 

Semua pesakit akan diberikan rawatan yang sama mengikut keperluan kesihatan masing-masing namun, kaedah penerangan serta komunikasi digunakan akan disuaikan untuk memastikan individu benar-benar faham.

"Contohnya, kalau ibu alami jangkitan saluran kencing, ada yang terus faham bila disebut 'UTI', tapi ada juga yang perlukan penjelasan lebih panjang dalam bahasa mudah," ujar @syikin_je.

"Dalam bidang obstetrik, terdapat banyak perincian kecil yang tidak boleh diabaikan terutamanya bagi kes berisiko tinggi seperti sejarah kehamilan kritikal, maka kebolehan staf untuk menilai tahap pemahaman pesakit melalui latar pendidikan amat penting dalam menyampaikan maklumat dengan berkesan," tambah @previnsiva.

Demi keselamatan pesakit

Maklumat tahap pendidikan dalam buku kesihatan bukanlah satu bentuk diskriminasi, tetapi usaha membina kepercayaan dan keselamatan antara pesakit serta penyedia rawatan. 

Ia juga membantu meminimumkan salah faham dan memastikan pesakit benar-benar faham prosedur serta risiko yang mereka hadapi.

"Kita tak boleh guna satu pendekatan yang sama kepada semua orang. Bila kita tahu latar belakang pesakit, lebih mudah untuk bina hubungan dan sampaikan mesej penting dengan cara yang mereka faham," jelas @aunimansor.

Justeru, maklumat tahap pendidikan dalam buku kesihatan bukan untuk menilai kebijaksanaan pesakit, tetapi ia membantu barisan pakar perubatan untuk memberikan rawatan yang adil, berkesan serta selamat. 

Dalam dunia perubatan moden yang semakin kompleks, komunikasi berkesan boleh menjadi pemisah antara rawatan yang berjaya dan komplikasi yang tidak diingini.

Sebagai masyarakat majmuk, kita perlu memahami tujuan sebenar catatan ini dan menyokong usaha petugas kesihatan yang setiap hari berusaha memastikan keselamatan pesakit tanpa mengira belakang individu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram