Anak sesak nafas lepas jualan kek batik, Wawa Zainal mohon ampun, khuatir terkena penyakit 'Ain'


  • Maya
  • Selasa, 03 Jun 2025

Hayla menderita sesak dan kesukaran untuk bernafas dipercayai terkena penyakit Ain.

USAI jualan kek batik diusahakan viral dan menerima tempahan banyak dari serata negara, pelakon dan usahawan popular, Wawa Zainal, 34, kini menderita sakit misteri dipercayai akibat penyakit 'Ain'.

Malah, anaknya Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 9, difahamkan turut berdepan nasib serupa apabila mengalami kesukaran bernafas dan sesak nafas baru-baru ini.

Hasil pemeriksaan doktor menafikan sebarang penemuan kahak pada kerongkong anaknya namun, Hayla mendakwa masih sukar bernafas.

BACA LAGI: [VIDEO] Macam filem 3 Abdul, tiga beradik kahwin serentak kongsi mentua sama

BACA LAGI: Asalnya belajar bahasa isyarat demi adik OKU, Tan Lee Bee dikurnia Bintang Ahli Mangku Negara lepas 4 dekad mencurah bakti

Perniagaan kek batik diusahakan Hayla menerima tempahan meluas dari serata negara baru-baru ini.

 

Mengakui perniagaan kek diusahakan anaknya itu semakin mendapat tempat di hati masyarakat, usahawan kosmetik 'Wawa Cosmetics' itu memohon maaf secara terbuka sekiranya ia membuatkan sesetengah pihak kurang senang.

"Kesian anak mama tak ada kahak pun tapi sesak nafas, Wawa pun tak pasti adakah ini yang dinamakan 'Ain'.

"NauzubillahMinzalik, Wawa minta maaf dan ampun sangat-sangat kalau kehadiran kek batik Hayla membuat sesetengah pihak kurang senang.

"Alhamdulillah Wawa dah pulih selepas kena gastrik teruk kelmarin tapi Hayla pula ganti sesak nafas, korang ada tak amalan untuk menghindarkan Ain," ciapnya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.

 

 

Dalam masa sama, isteri kepada pelakon kacak Aeril Zafrel, 36, itu turut menjelaskan segala hantaran dan video dimuat naik di laman sosial hanyalah bertujuan demi promosi dan perniagaan semata-mata, bukan untuk mempamer kemewahan.

Enggan bertoleransi dengan cadangan menurunkan hantaran di Instagram, Wawa tegas menjelaskan ia adalah sebahagian daripada usaha dilakukan sebagai seorang ahli perniagaan.

"Jangan cakap jangan posting apa-apa, sebagai pemilik perniagaan kami la muka hadapan yang kena promosikan produk, kalau diberi pilihan tak perlu ada laman sosial pun tak apa tapi akan daya, siapa lagi nak buat kalau bukan diri sendiri," ujarnya.

Terdahulu, Aeril baru-baru ini menghadiahkan peti sejuk chiller khas kepada Hayla sebagai tanda galakan selepas anaknya itu serius menunjukkan minat dalam bidang kulinari.

Menyokong sepenuhnya minat anak perempuannya itu, pasangan selebriti itu bersama pembantu mereka turut sama turun padang membantu Hayla menguruskan tempahan kek.

Sekadar info, sejak ditubuhkan pada 2016, 'Wawa Cosmetics' sudah berkembang pesat dan menjadi antara jenama kosmetik yang digemari ramai masyarakat di Malaysia dan serantau Asia Tenggara.

Selain menumpukan kepada produk berkualiti tinggi, syarikat mereka juga komited terhadap tanggungjawab sosial, termasuk pelbagai aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan yang banyak membantu golongan memerlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram