Asalnya belajar bahasa isyarat demi adik OKU, Tan Lee Bee dikurnia Bintang Ahli Mangku Negara lepas 4 dekad mencurah bakti


Tan Lee Bee tersenarai sebagai penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

LEBIH empat dekad berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat berita televisyen, Tan Lee Bee, 64, mendapat pengiktirafan apabila tersenarai sebagai penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Selasa.

Biarpun sekadar menghiasi sudut kecil kaca televisyen, peranan wanita kelahiran Segamat, Johor itu cukup besar kepada masyarakat khususnya yang bergelar golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Diraikan dalam suasana penuh istiadat yang cukup bermakna, Tan merupakan antara 16 individu penerima Bintang AMN pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

BACA LAGI: Jepun cipta teknologi rahim buatan pertama dunia, janin berkembang di luar tubuh manusia

BACA LAGI: 'Baca banyak ulasan positif ibu-ibu lain, selebriti, malangnya pengalaman saya berbeza', wanita kesal, tertekan dijaga CL tak beretika

Mengimbau kembali jasa dan detik permulaan kariernya, Tan memulakan perkhidmatannya selaku jurubahasa isyarat dalam dunia penyiaran sekitar 1985 menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia khas buat golongan penonton cacat pendengaran.

Biarpun kerjaya itu kurang dikenali dalam kalangan masyarakat, namun peranannya cukup besar terutamanya dalam kes berkaitan jenayah dan proses perbicaraan di mahkamah.

Bahkan, khidmatnya difahamkan turut ditagih doktor pakar dari serata negara apabila membabitkan pesakit yang pekak ataupun bisu.

Namun, sepanjang berkecimpung dalam bidang tersebut, figura hebat itu langsung tidak pernah mendapatkan pendidikan secara formal mahupun profesional.

Bagaikan rezeki terpijak, peluang yang dinanti akhirnya tiba apabila Tan diberikan tajaan biasiswa dari Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri serta Timbalan Menteri (Bakti) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Orang Pekak di Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada 1988.

Usai tamat pengajian di AS, dia kembali mencurah bakti di Sekolah Kanak-Kanak Pekak di Petaling Jaya, Selangor.

Jodohnya bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) kekal utuh apabila dia sekali lagi dipanggil untuk berkhidmat menerusi program berita Nasional 8 sebagai jurubahasa isyarat sepenuh masa sehingga ke hari ini.

Sekadar info, Tan mula mempelajar bahasa isyarat demi kasih dan sayangnya terhadap adik kandungnya yang difahamkan mengalami masalah pendengaran.

Memulakan kerjaya sebagai seorang guru di sebuah sekolah pendidikan khas selama lebih 17 tahun, Tan turut menawarkan khidmatnya secara percuma bagi golongan pekak di gereja dan badan-badan yang memerlukan pada sekitar 1980an. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram