
BUKU rekod kesihatan ibu mengandung atau lebih dikenali sebagai 'buku pink' sering dipenuhi dengan istilah perubatan yang mungkin asing bagi sesetengah wanita.
Walau bagaimanapun, pemahaman terhadap terma-terma ini amat penting dalam memastikan pemantauan kehamilan berjalan lancar.
Berikut adalah antara istilah yang kerap digunakan oleh doktor dan jururawat dalam buku pink, berserta maksudnya:
BACA LAGI: Saksi pelancaran LIMA 25 dari udara, Ahirine kongsi pengalaman selaku media rasmi TLDM
BACA LAGI: [VIDEO] Kongsi perjuangan ibu menyusu, Tya Arifin bawa stok susu badan terbang ke Malaysia
Ibu mengandung perlu mendapatkan pemeriksaan secara berkala di klinik ataupun hospital. — Gambar hiasan
1. EDD (Estimated Due Date)
EDD merujuk kepada tarikh jangkaan kelahiran bayi. Ia dikira berdasarkan hari pertama haid terakhir (LMP) dan bukannya tarikh persenyawaan.
Tarikh ini boleh berubah mengikut hasil imbasan dan perkembangan bayi.
2. LMP (Last Menstrual Period)
Merujuk kepada hari pertama haid terakhir sebelum kehamilan berlaku.
Maklumat ini sangat penting kerana ia menjadi asas kepada semua pengiraan berkaitan usia kandungan dan ibu dinasihatkan menyimpan rekod haid melalui aplikasi penjejak haid.
3. GA (Gestational Age)
Merupakan usia kandungan dalam minggu kehamilan.
Sebagai contoh, GA 28W bermaksud bayi sudah berusia 28 minggu, maka semakin besar usia GA, maka tarikh bersalin juga semakin hampir.
4. SFH (Symphysis-Fundal Height)
Merupakan ukuran dari tulang pubik hingga ke bahagian atas rahim (fundus).
Ia digunakan untuk memantau pertumbuhan bayi dalam rahim dan ukuran biasanya selari dengan usia kandungan dalam kiraan sentimeter.
5. FHR (Fetal Heart Rate)
Merujuk kepada denyutan jantung bayi, kadar normal ialah antara 110 hingga 160 degupan per minit (bpm).
Pemeriksaan dilakukan menggunakan alat doppler atau mesin imbasan yang memberikan ibu peluang mendengar bunyi degupan jantung si kecil.
6. BP (Blood Pressure)
Tekanan darah ibu hamil sangat penting untuk dipantau.
Bacaan normal adalah sekitar 120/80 mmHg, manakala catatan melebihi 140/90 mmHg mungkin memberi amaran awal terhadap risiko pre-eclampsia.
7. Urine Dipstick/UPT
Ujian air kencing dilakukan pada setiap pemeriksaan doktor untuk mengesan protein (masalah buah pinggang), gula (risiko diabetes) dan kuman (jangkitan saluran kencing).
8. GDM (Gestational Diabetes Mellitus)
Merupakan keadaan diabetes semasa kehamilan dan ibu akan menjalani ujian MGTT (minum air gula) bagi mengesan GDM.
Jika bacaan gula tinggi, pemantauan diet dan rawatan seperti insulin mungkin diperlukan.
9. Hb (Hemoglobin)
Ujian darah yang mengukur tahap hemoglobin (Hb) ibu dengan nilai normal ialah ≥11 g/dL.
Bacaan rendah boleh menyebabkan anemia, yang berpotensi meningkatkan risiko semasa bersalin serta menyebabkan keletihan.
10. ANC (Antenatal Care) Calendar
Jadual ini merekodkan semua lawatan pemeriksaan antenatal.
Setiap perkembangan dan sebarang isu akan ditandakan oleh jururawat atau doktor, maka penting untuk ibu hamil tidak terlepas sebarang temujanji di klinik kerana ia membantu persediaan semasa bersalin.
Justeru, memahami istilah dalam buku pink bukan sahaja membantu ibu lebih bersedia, malah membolehkan kesihatan diri dan bayi sentiasa dalam pantauan doktor pakar.
Bagi ibu yang bakal menghadapi pengalaman kelahiran kali pertama, jangan ragu-ragu untuk bertanya dan catat sebarang istilah baharu setiap kali menghadiri pemeriksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram