Ada beza berbual dan beri arahan, ibu bapa malas komunikasi faktor anak 'speech delay'


  • Bonda
  • Selasa, 03 Jun 2025

Ibu bapa perlu kerap berkomunikasi dengan si bayi bermula dari peringkat awal kelahiran. — Gambar hiasan/Agensi

DALAM dunia moden yang semakin canggih hari ini, peningkatan kes kelewatan pertuturan atau lebih dikenali sebagai 'speech delay' menjadi isu membimbangkan dalam kalangan ibu bapa.

Perkara itu yang semakin ketara di pusat-pusat pendidikan awal dan tadika seluruh negara, membuktikan betapa generasi akan datang sedikit tercicir dari segi pelajaran serta pendedahan kepada perkembangan sosial mereka.

Lantang bersuara berkaitan hal berkenaan di laman Threads, seorang pendidik berpengalaman, @affiza.mohammad yang berpengalaman lebih 17 tahun dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak menyatakan isu berbangkit bukan sekadar kebetulan. 

BACA LAGI: Jepun cipta teknologi rahim buatan pertama dunia, janin berkembang di luar tubuh manusia

BACA LAGI:[VIDEO] Macam filem 3 Abdul, tiga beradik kahwin serentak kongsi mentua sama

Jelasnya, ia berpunca daripada satu perkara asas yang sering diabaikan oleh ibu bapa zaman moden iaitu komunikasi awal dengan anak-anak.

"Setiap kali saya jumpa anak-anak yang lambat bercakap, saya akan tanya ibu bapa mereka sejak lahir, macam mana cara anda berkomunikasi dengan anak? 

"Rata-rata jawab, 'kami tak tahu nak cakap apa dengan anak kecil'," katanya.

Menurutnya, ramai ibu bapa tidak berbual dengan anak, sebaliknya hanya memberi arahan sehala seperti, "Mandi sekarang", "Jangan main masa makan" atau "Tutup TV". 

"Ini bukan komunikasi sebenar, tetapi hanya sejenis bentuk kawalan malah lebih membimbangkan, sebahagian besar anak kecil dibiarkan leka dengan gajet hampir sepanjang masa kononnya untuk membantu mereka diam," katanya.

Kanak-kanak taksub dengan gajet dan telefon pintar berisiko tinggi berdepan isu kelewatan pertuturan. — Gambar hiasan/Agensi

Gajet sebagai 'pengasuh digital'

Dalam era globalisasi kini, ramai ibu bapa khususnya generasi Gen Z terlampau sibuk atau leka dengan telefon pintar masing-masing.

Bahkan, kanak-kanak pula disuap dengan gajet agar tidak mengganggu sekali gus menjadikan skrin sebagai peneman setia sejak bayi.

Akibatnya, stimulasi lisan yang sepatutnya berlaku melalui interaksi langsung dengan ibu bapa tidak terjadi dan si kecil berisiko untuk berdepan simptom speech delay, autisme dan sebagainya.

Tambahnya, kajian dijalankan turut menunjukkan bahawa kanak-kanak yang banyak meluangkan masa dengan aktiviti di skrin lebih cenderung mengalami kelewatan dalam perkembangan bahasa. 

Sebaliknya, interaksi dua hala seperti berbual, bermain dan membaca bersama ibu bapa adalah kunci utama dalam merangsang pertuturan serta perkembangan kognitif anak.

"Budak ni manusia, bukan robot. ALLAH ciptakan setiap fasa umur dengan perkembangan tersendiri. 

"Kalau kita terlepas fasa tu, susah nak patah balik dan sangat mahal pula kos nak betulkan semula," jelasnya.

Main dan berbual, kunci perkembangan awal anak

Dalam masa sama, @affiza.mohammad turut menekankan kepentingan anak-anak  bermain di luar rumah demi merangsang pelbagai sistem deria dan membantu pembentukan bahasa mereka. 

Namun, kini kanak-kanak bukan saja kurang bermain, bahkan tidak mempunyai kawan-kawan seperti zaman dahulu kala yang lebih mengutamakan interaksi sosial.

Seorang warga maya, @ibubabah23 turut berkongsi pengalamannya yang gemar berkomunikasi dengan bayinya sejak dari dalam kandungan lagi.

"Setiap hari saya berbual dengan bayi saya sejak dari dalam perut lagi, sampai sekarang saya tetap beritahu apa yang kita nak buat atau apa yang berlaku setiap hari. 

"Baby sangat responsive, mereka faham walaupun kita rasa mereka tak faham," ujarnya.

Justeru, isu kelewatan pertuturan dalam kalangan kanak-kanak bukan sekadar isu perkembangan, bahkan ia gambaran jelas terhadap gaya hidup ibu bapa zaman sekarang.

Jika masih berdiam diri dan membiarkan anak 'dibesarkan' oleh gajet teknologi, maka bersedialah untuk berdepan dengan pelbagai komplikasi serta isu kesihatan yang menjejaskan tumbesaran si kecil kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram