Nikmati fasa berdua, 'masjid hoping', cuba resipi baharu antara aktiviti semarak cinta suami isteri belum dikurniakan zuriat


  • Bonda
  • Selasa, 03 Jun 2025

Pasangan tanpa anak seharusnya meluangkan masa 'fasa berdua' sebaiknya sebelum bergelar ibu bapa. — Gambar hiasan/Janaan AI

 

 

SETIAP pasangan suami isteri mengimpikan anugerah cahaya mata sebagai penyambung legasi dan amanah tidak ternilai dari sang pencipta.

Namun, isu anak merupakan rahsia tuhan yang tiada siapa pun tahu akan tarikh dan bilakah waktunya panggilan ibu dan ayah itu boleh diguna pakai dalam rumah tangga.

Mungkin ramai terlepas pandang bahawa desakan ekonomi dan tekanan sosial era moden ketika ini boleh memberi risiko tinggi kepada golongan pejuang 'dua garis' di luar sana untuk berdepan isu pergaduhan keluarga.

BACA LAGI: Jepun cipta teknologi rahim buatan pertama dunia, janin berkembang di luar tubuh manusia

BACA LAGI: 'Baca banyak ulasan positif ibu-ibu lain, selebriti, malangnya pengalaman saya berbeza', wanita kesal, tertekan dijaga CL tak beretika

Malah, lebih teruk apabila ada antaranya terlepas peluang untuk menghargai masa 'berdua' yang mungkin akan menjadi momen tidak boleh diputar satu hari nanti.

Pasangan tanpa zuriat memiliki lebih banyak masa terluang bersama. — Gambar hiasan/Janaan AI

Seharusnya, pasangan Trying-To-Conceive ataupun (TTC) perlu memanfaatkan fasa ini sebagai ruang untuk memperkukuh ikatan dan membina kenangan manis sebelum hadirnya rezeki anak kelak.

Ketahuilah bahawa setiap fasa dalam perkahwinan ada cabarannya, dan pasangan tanpa anak bukan kekurangan, tapi peluang untuk mengenal dan mencintai satu sama lain lebih mendalam.

Berikut adalah tujuh aktiviti menarik dan bermakna yang boleh dilakukan oleh pasangan yang masih berdua bukan hanya untuk berseronok, tetapi untuk menyuburkan hubungan sebelum hadirnya 'seruan' lampin dan tangisan awal pagi.

1. Rancang perkelahan santai

Tidak perlu percutian mewah, cukup sekadar roti, air kotak dan tikar sahaja memadai untuk mengisi masa senggang bersama pasangan di samping aktiviti menarik dalam negara.

Cari taman yang tenang, tinggalkan telefon seketika dan luangkan masa berbual tentang impian dan masa depan, bukan sekadar masalah seharian.

Ini saatnya menghidupkan kembali perbualan dari hati ke hati yang mampu membentuk persefahaman lebih erat walau seribu tahun lamanya penantian anak.

2. Cuba resipi baharu bersama

Bukan soal siapa lebih pandai di dapur, aktiviti memasak bersama adalah tentang kerjasama, gelak tawa di tengah kekalutan dan sesi mengadili masakan yang jujur.

Bahkan, mi segera pun boleh menjadi hidangan istimewa jika dimasak dengan hati yang tenang dan ceria.

3. Ambil gambar pasangan setiap bulan

Kenangan bukan hanya datang dari percutian luar negara dan serba mewah, tetapi dari momen dan masa diluangkan bersama.

Ambil gambar setiap bulan sebagai rekod perjalanan hidup anda dan pasangan.

Kelak, suatu hari nanti ia bakal menjadi bukti betapa indahnya percintaan usai perkahwinan yang sangat jarang diketengahkan dalam masyarakat tempatan.

4. Senaraikan aktiviti 'rainy ray'

Buat senarai aktiviti pada hari hujan atau ‘off-day’ sebagai contoh menonton wayang, melakukan sesi spa di rumah atau cuba melukis bersama.

Dalam erti kata lain, tak perlu bercuti ke Bali untuk merasai pengalaman mendamaikan, berbekalkan aktiviti di rumah sahaja mampu mewujudkan suasana harmoni dalam hubungan.

5. Belajar sesuatu bersama

Sertai kelas dalam talian atau dengar podcast bersama tentang apa sahaja topik yang boleh menjadi bualan seharian suami isteri.

Dalam masa sama, ia juga boleh menambah ilmu dan memupuk persefahaman lebih utuh berbanding sekadar perbincangan tentang anak sentiasa.

6. Ziarah masjid sekitar (masjid Hopping)

Aktiviti ini bukan sahaja mendekatkan diri kepada Tuhan, malah boleh menjadi pengalaman yang menyatukan pasangan.

Ramai ibu bapa mengakui, selepas mempunyai anak kecil, peluang untuk beribadah di masjid agak terhad maka, inilah masa terbaik untuk menikmatinya.

7. Bercakap jujur

Komunikasi merupakan kunci utama kebahagiaan rumah tangga.

Jangan menangguhkan masa untuk bercakap tentang keinginan, ketakutan, keletihan atau harapan terhadap pasangan.

Sebaliknya, segera luahkan dengan jujur kerana perkahwinan itu dibina atas kepercayaan dan pemahaman yang sangat ikhlas.

'Hargai sekarang, bukan nanti'

Ungkapan ayat "nikmatilah masa berdua, nanti dah tak sama" sering kali kedengaran dalam mana-masa pasangan pengantin baharu.

Bagi segelintir pihak ia mungkin sekadar pesanan ringkas dan gurauan 'orang dewasa', namun ketahuilah ia menggambarkan segala-gslanya.

Tidak kira sama ada rezeki anak hadir cepat atau lambat, hubungan suami isteri perlu dipupuk sentiasa kerana asas keluarga harmoni bermula dari dua hati yang saling memahami, sebelum ia berkembang menjadi tiga atau lebih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram