
TANGISAN penonton memenuhi dewan saat Miss Somalia, Zainab Jama berkongsi pengalaman peribadi mengenai amalan kejam mutilasi kemaluan wanita (FGM) yang pernah dilaluinya ketika berusia tujuh tahun.
Menerusi segmen Head-to-Head pada pertandingan Miss World 2025, Jama tampil berani menceritakan detik hitam yang mencorakkan kehidupannya hingga kini.
Menurutnya, ia adalah kisah benar mencerminkan realiti getir jutaan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.
BACA LAGI: Bapa dakwa anak sulung alami pendarahan teruk selepas berkhatan beramai-ramai di Alor Setar
FGM melibatkan pembuangan sebahagian atau keseluruhan alat kelamin luar wanita dan boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan, pendarahan, kemandulan serta risiko ketika bersalin.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 230 juta wanita dan kanak-kanak perempuan yang masih hidup hari ini telah mengalami FGM, manakala lebih 4 juta lagi berisiko setiap tahun.
Jama menggunakan pentas kecantikan antarabangsa tersebut bukan sekadar mahu menonjolkan bakat dan pesona, tetapi sebagai wadah memperjuangkan penghapusan FGM.
Bilik gelap
Dilahirkan di Somalia, Jama membesar sebagai pelarian selepas melarikan diri dari negara asalnya akibat konflik dan krisis iklim.
Selepas berhijrah ke United Kingdom (UK) bersama keluarganya, beliau membina semula kehidupan, namun trauma masa lalu kekal tersemat.
Jama dalam ucapannya mengimbau perasaan tidak berdaya semasa kecil, apabila hak tubuh dan maruahnya dirampas atas nama tradisi.
"Ketika sedang bermain di luar bersama rakan-rakan, tiba-tiba saya diangkat, pakaian dikoyakkan dan dibawa ke sebuah bilik.
"Tiga wanita tidak terlatih dari segi perubatan menunggu dengan pisau, gunting dan peralatan lama.
"Saya tidak diberi ubat tahan sakit, disuruh diam dan diberitahu kononnya ini tradisi yang perlu dibanggakan,” luah Jama dengan suara bergetar, mengenang kembali trauma tersebut.
Selepas proses pemotongan, kulitnya dijahit semula menggunakan benang tebal, hanya meninggalkan bukaan kecil untuk air kencing atau darah haid.
Prosedur dialami Jama adalah jenis infibulasi. Wanita itu kemudian dikurung di dalam bilik gelap selama beberapa hari, dengan kaki diikat rapat, berdarah dan menanggung kesakitan.
“Bahagian selepas prosedur itulah tempat ramai kanak-kanak perempuan meninggal dunia. Saat itu mengubah diri saya selama-lamanya.
"Zaman kanak-kanak saya berakhir di situ. Saya terselamat, tetapi ramai yang tidak,” tuturnya.
Jama menggunakan pentas kecantikan antarabangsa sebagai wadah memperjuangkan penghapusan FGM.
Berbekalkan pengalaman pahit itu, Jama menubuhkan Female Initiative Foundation, sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat berkenaan bahaya FGM.
Kini misinya adalah untuk menyedarkan masyarakat dan mencegah gadis-gadis lain daripada mengalami trauma yang sama.
“Saya berdiri di sini bukan hanya sekadar mangsa, tetapi sebagai seorang yang terselamat daripada mutilasi genital wanita. Saya bercakap untuk mereka yang tiada suara,” tegasnya lagi.
Tradisi bukan alasan
Melalui yayasannya, Jama bekerja secara langsung dengan komuniti, mendidik keluarga terutamanya para ibu.
Beliau tampil secara terbuka, berkongsi kisahnya untuk mencabar norma budaya.
Jama turut menyeru agar tradisi tidak lagi dijadikan alasan untuk menyakiti kanak-kanak perempuan.
“Kita boleh menghormati budaya tanpa mencederakan anak-anak perempuan. Cinta dan adat tidak sepatutnya merampas tubuh atau jiwa mereka,” luah beliau.
Jama menyeru agar tradisi tidak lagi dijadikan alasan untuk menyakiti kanak-kanak perempuan.
Untuk rekod, amalan khatan bagi kaum Hawa dalam agama Islam adalah berbeza dengan FGM.
Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan sejak 2009 memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib.
Sementara WHO pada April lalu, menggesa supaya diwujudkan kod etika melarang petugas kesihatan daripada melakukan amalan FGM.
Dalam garis panduan baharu, WHO menekankan peranan penting petugas kesihatan dalam mengesan amalan FGM serta memberi sokongan perubatan kepada mangsa.
Perbezaan antara khatan wanita dan FGM:
1) Definisi
- Khatan merujuk kepada amalan membuang sebahagian kecil tisu (biasanya hujung kulit klitoris) tanpa mencederakan struktur kemaluan wanita secara signifikan.
- FGM merangkumi semua prosedur melibatkan pemotongan, penghapusan sebahagian atau keseluruhan alat sulit luaran wanita, termasuk klitoris, labia (bibir faraj) dan kadang-kadang termasuk penjahitan bukaan faraj (infibulasi).
2) Tujuan
- Khatan dipraktikkan sebagai sunah dalam Islam dan tidak bertujuan menyekat nafsu.
- Tidak ada asas agama yang sahih, lebih kepada tradisi dan kawalan seksual wanita. Ia juga bertujuan mengekang keinginan seksual wanita.
3) Implikasi kesihatan
Khatan - Rendah atau hampir tiada jika dilakukan secara bersih dan profesional.
FGM - Tinggi termasuk jangkitan, kesakitan melampau, trauma psikologi, sukar bersalin dan mati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram