Hati tak tenang selagi Amar belum balik Malaysia, video call ubat rindu — Amyra


  • Cinta
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Amyra terus mendoakan agar segala urusan suaminya dipermudahkan sepanjang perjalanan. — Instagram/aamyrarosli

PELAKON dan pengacara, Amyra Rosli, mengakui tidak kekok menguruskan anak-anak seorang diri ketika suaminya, Amar Baharin mengembara menaiki basikal dengan tujuan untuk ke Tanah Suci sejak 27 April lalu.

Menurut Amyra, 34, meskipun tanpa pembantu rumah sejak berkahwin, beliau sudah terbiasa menggalas tanggungjawab mengurus keluarga ketika Amar sibuk di set penggambaran.

“Sejak berkahwin, kami memang tak pernah ada pembantu rumah. Apabila Amar pergi mengembara pun, saya tak rasa itu satu masalah besar.

"Sudah biasa buat semuanya sendiri,” katanya ketika ditemui Majoriti di Kuala Lumpur pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Cuaca panas, tayar pancit tak gugat semangat Amar, Qobin capai misi ke Tanah Suci

BACA LAGI: Elak guna laluan Myanmar-Bangladesh, Qobin dan Amar Baharin kayuh basikal ke Tanah Suci Makkah penghujung April

Amyra (tengah) ketika menghadiri sambutan hari sukan di sekolah anak-anaknya. — Instagram/aamyrarosli

Tambah Amyra, cabaran hanya sedikit terasa apabila perlu menguruskan hal-hal berat yang selalunya dilakukan oleh suami, lebih-lebih lagi ketika mereka baru sahaja berpindah rumah.

“Cuma penat lebih sikit sebab nak angkat barang-barang berat, tapi saya cuba tak paksa diri. 

"Kalau tak mampu buat, tunggu suami balik, tidak mahu terlalu stres,” ujarnya.

Amyra turut mendedahkan bahawa sepanjang pemergian suaminya, ibu kepada dua cahaya mata itu tetap menjalankan rutin harian seperti biasa dan memilih untuk tidak terlalu berkongsi kesusahan dengan Amar agar suaminya dapat fokus kepada misi spiritualnya.

Akui pelakon drama siri Nur itu lagi, beliau enggan Amar rasa terbeban dengan masalah yang berlaku di rumah.

“Sebab kayuhan dia bukan biasa-biasa, dengan cuaca ekstrem, ribut pasir dan sebagainya. Jadi saya kongsi yang penting sahaja,” jelasnya tersenyum.

Pendarahan

Bahkan ketika mengalami masalah kesihatan seperti pendarahan luar biasa dan perlu ke hospital, Amyra tetap cuba tenang dan tidak mahu suaminya terlalu khuatir.

Bercerita lanjut, beliau memberitahu dirinya mengalami pendarahan beberapa hari selepas Amar memulakan misi kayuhan.

Ditanya sama ada ia disebabkan kehamilan, akui Amyra, beliau sendiri tidak mengetahui punca sebenar keadaan itu. 

“Doktor kata mungkin hamil yang tidak jadi, terlalu penat atau hormon tak seimbang. 

"Saya tak buat rawatan susulan sebab pendarahan berhenti lepas beberapa hari jumpa doktor.

"Saya beritahu Amar (kejadian ini), tapi tidak bercerita secara terlalu mendalam sebab tak mahu dia risau,” katanya memaklumkan dirinya kini sudah sembuh selepas mengambil ubat diberikan doktor.

Amyra (kanan) mengakui, kerinduan terhadap suaminya bukan sesuatu yang mudah untuk disembunyikan. — Instagram/aamyrarosli

Panggilan video 

Walau kelihatan tenang menjalani kehidupan seharian bersama anak-anak, Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli mengakui kerinduan itu bukan sesuatu yang mudah untuk disembunyikan.

“Sebulan lebih dia tiada, saya rindu sangat-sangat. Rindu yang tak boleh nak cerita dengan orang,” luahnya jujur.

Namun bagi Amyra, kewujudan teknologi seperti panggilan video sedikit sebanyak membantu mengurangkan rasa kehilangan.

“Zaman sekarang ini ada panggilan video, kami rasa dia dekat. Apabila dapat tengok dia sihat, saya rasa lega. 

"Itu sudah cukup untuk buat saya terus kuat jalani rutin harian seperti biasa,” katanya.

Menurut Amyra, setiap hari mereka tetap berhubung walaupun sekejap, bergantung kepada capaian internet dan lokasi Amar ketika itu.

“Kami video call setiap hari tak kira di mana pun, dia tetap usahakan juga untuk hubungi saya dan anak-anak. Sekurang-kurangnya beberapa jam pun cukup,” ceritanya lagi.

Amyra (belakang, dua dari kanan) bersyukur atas sokongan keluarga yang sentiasa ada untuk memberi bantuan. — Instagram/aamyrarosli

Dibantu keluarga 

Walaupun Amar tiada di sisi dalam tempoh lebih sebulan, anak sulung daripada empat beradik itu bersyukur anak-anaknya memahami keadaan dan tidak terlalu mencari-cari figura bapa mereka.

“Alhamdulillah anak-anak okey saja. Tak ada sampai menangis tanya daddy mana. Cuma biasalah ada rindu, tapi saya cuba buat mereka rasa normal,” jelasnya.

Amyra juga tidak menafikan bahawa semangatnya banyak didorong oleh sokongan keluarga terdekat yang sentiasa ada memberi bantuan.

“Saya duduk berdekatan dengan keluarga. Jadi apabila perlukan bantuan, adik-beradik akan datang. Itu pun dah cukup bantu ringankan beban,” bicaranya lagi.

Belum lega

Mengulas kritikan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan Amar mengayuh basikal ke Tanah Suci, Amyra memilih untuk menghormati minat dan keputusan suaminya.

“Saya tahu dia minat berbasikal dan apa yang dia buat ini sesuatu yang baik. 

"Saya izinkan sebab tahu niatnya. Orang boleh bercakap macam-macam, tapi saya tahu siapa suami saya,” katanya.

Amar (kiri) dan Qobin tiba di Madinah selepas berkayuh dari pekan akhir di Al Henakiyah sejauh 115km. — Instagram/aamyrarosli

Walaupun Amar sudah selamat tiba di Masjid Nabawi, Madinah pada pukul 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu tempatan), Jumaat, Amyra mengakui hatinya belum benar-benar tenang selagi suaminya belum kembali ke tanah air.

Walaupun sedikit lega apabila mendapat tahu Amar selamat sampai di destinasi, namun perasaan bimbang masih belum surut sepenuhnya.

“Selagi dia belum balik Malaysia dan tiada depan mata, saya akan terus doakan segalanya dipermudahkan,” kata Amyra.

Untuk rekod, Amyra dan Amar melangsungkan perkahwinan pada November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 8, dan Ayra Aryssa, 4 tahun.

Pengambaraan 'Journey to Tanah Haram' Amar dan penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagi Qobin dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dari Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu.

Mengambil masa 33 hari untuk merentasi empat negara, kedua-dua mereka tiba di Madinah selepas berkayuh dari pekan akhir di Al Henakiyah sejauh 115 kilometer (km). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram