
SEORANG wanita memberikan pesanan buat golongan ibu hamil agar tidak segan untuk memohon tempat duduk ketika menaiki pengangkutan awam.
Berdasarkan perkongsian di aplikasi TikTok milik my.azizzah, beliau yang kini sedang hamil dan sering menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) mengakui tidak pernah berdepan masalah mendapatkan tempat duduk.
Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran seorang wanita hamil yang kecewa apabila tiada sesiapa menawarkan tempat duduk untuknya di dalam pengangkutan awam.
BACA LAGI: Ramai masih 'buta hati', wanita hamil terpaksa berdiri dalam LRT
BACA LAGI: Panduan ibu hamil, ketahui 10 istilah perubatan dalam 'buku pink'
“Saya mengandung dan naik MR tapi okey saja, semua orang baik.
"Mereka (penumpang) sedar sahaja terutamanya jika duduk di ruangan khas, kenalah bagi keutamaan kepada wanita mengandung, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
"Kadang-kadang orang takut nak agak anda mengandung. Kalau tawar tempat duduk, (tapi sebenarnya) tak mengandung pun, anda juga yang akan terasa nanti," katanya.
Tambah wanita tersebut, kunci utama adalah komunikasi yang sopan dan jelas.
Menurutnya, perjalanan akan lebih mudah jika diri sendiri mengambil inisiatif tersebut.
"Kita sendiri yang kena ringan mulut. Contohnya cara saya, kalau nampak penumpang yang fizikal sihat, saya akan cakap, excuse me nak duduk boleh?
"10 daripada 10 (penumpang) akan beri tempat duduk. Hidup ini senang, anda yang komplekskan kehidupan.
"Jadi janganlah berat mulut, minta baik-baik. Rakyat Malaysia ini baik-baik sebenarnya," akui beliau.
Perkongsian itu mendapat reaksi positif dalam kalangan warga maya dengan rata-rata menyokong pendekatannya yang matang dan berhemah.
“Akak ini ajar supaya wanita kawal emosi. Takkan keluar rumah semua orang nak sambut kita dengan karpet merah kan?” tulis fid.a.
Pengguna lain pula menyifatkan perkongsian tersebut sebagai satu bentuk pendidikan sosial yang realistik, terutama dalam masyarakat bandar yang semakin sibuk dan adakalanya kurang peka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram