
SEORANG bapa mendakwa anak lelakinya yang berusia 11 tahun terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah akibat pendarahan teruk selepas menyertai program khatan beramai-ramai di Alor Setar, Kedah.
Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, berkata, anak sulungnya daripada tiga beradik telah menyertai program khatan di sebuah masjid berhampiran pada Sabtu dengan bayaran penyertaan sebanyak RM50.
“Khatan dilakukan oleh seorang doktor dan waris tidak dibenarkan hadir semasa prosedur dijalankan. Selepas itu, doktor menyarankan kami membawa anak pulang. Namun, sejurus pulang, luka tersebut mula berdarah,” dakwanya pada Ahad.
BACA LAGI: [VIDEO] Gen Z sanggup berhabis untuk 'travel' berbanding membeli barangan mewah
Dia segera menghubungi doktor yang merawat anaknya dan doktor tersebut menyarankan agar mereka membawa anaknya ke klinik berhampiran.
“Saya sangat kecewa kerana anak saya terpaksa menahan kesakitan apabila jahitan terpaksa dibuka berulang kali. Saya masih teringat tangisan anak saya apabila jahitan tersebut dibuka dan disarungkan semula,” katanya sambil menambah bahawa sehingga kini punca pendarahan tersebut masih belum dimaklumkan kepadanya.
Ahmad Mudzakkir telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram