
"LIMA hari." Itu jangka hayat yang diberitahu doktor kepada Aziela Che Nor selepas disahkan menghidap kanser leukemia pada 2011.
Mesra disapa Bonda Ziela, dunia wanita dalam lingkungan usia 50-an itu berubah gelap sekelip mata mendengarkan perkhabaran duka tersebut.
Kepada seluruh ahli keluarga, mereka diminta bersedia dengan 'pemergian' Aziela dalam tempoh kurang satu minggu.
Beliau ketika itu sedang mengemudi syarikat pengilang peralatan asal (OEM) miliknya yang juga dikenali sebagai Kilang Bonda Ziela.
Namun sebaik sahaja disahkan menghidap kanser, segala urusan perniagaan terpaksa dihentikan, diambil alih oleh suami dan anak-anak.
Fokusnya hanya satu, bertahan untuk hidup.
"Apabila doktor sahkan saya menghidap leukemia dan mungkin hanya sempat bertahan lima hari, saya memang sangat down dan rasa tiada harapan pun nak hidup.
"Saya sendiri sudah reda pada waktu tersebut, tapi dalam masa sama kami tetap ikhtiar," kongsinya kepada Majoriti.
Penyakit leukemia yang menyerang sel darah putih menyebabkan badannya lemah dan tidak dapat berfungsi secara normal.
Namun di saat seluruh keluarga hampir reda dengan takdir, satu keajaiban berlaku.
Doktor mencadangkan pemindahan darah, yang mana dalam sejarah perubatan negara, difahamkan beliau pesakit pertama di Malaysia menerima darah daripada anak.
“Biasanya untuk kes leukemia, pemindahan dilakukan daripada ibu kepada anak.
"Namun doktor kata, kes saya terbalik. Saya adalah yang pertama di Malaysia yang menerima darah daripada anak untuk kelangsungan hidup.
“Sekarang darah beliau yang mengalir dalam tubuh. Syukur, doktor sahkan ia berjaya dan saya masih sihat sampai hari ini. Semua atas kuasa ALLAH SWT," luahnya syukur.
Tempoh lima hari yang diberi doktor, akhirnya menjadi dua tahun perjuangan yang penuh derita buat usahawan kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu.
Dalam tempoh itu, Aziela terlantar di hospital yang sudah menjadi rumah nombor satu beliau, menjalani rawatan kemoterapi dan transfusi darah.
Pengalaman berjuang dengan kanser banyak mengubah cara Aziela melihat kehidupan. — Facebook/Bonda Ziela
Cantik dalaman
Pengalaman tersebut banyak mengubah cara ibu kepada tiga anak itu melihat kehidupan.
“Lepas sakit, baru kita sedar betapa pentingnya pemakanan. Sebab itu apabila saya buka kilang, kesihatan jadi fokus utama.
"Wanita hari ini kena letak sihat di depan, bukan cantik. Jika sihat dalaman, automatik luaran pun akan jadi cantik," tuturnya.
Berpegang pada prinsip pemakanan sihat, beliau kini cenderung mengamalkan gaya hidup tradisional seperti menggunakan herba turun-temurun.
“Dulu doktor nasihat elak ambil makanan laut dan hidangan yang tidak sesuai, jadi saya ikut.
"Selepas beberapa tahun sihat, saya mula amalkan ramuan-ramuan nenek moyang,” katanya.
Selepas beberapa tahun membina pengalaman dan reputasi, beliau berjaya menubuhkan kilang sendiri. — Facebook/Bonda Ziela
Dominasi
Mengorak langkah dalam bidang perniagaan secara serius sejak 2007, anak sulung daripada empat beradik itu pada awalnya memasarkan produk jenama sendiri tanpa memiliki kilang.
Namun, selepas beberapa tahun membina pengalaman dan reputasi, beliau berjaya menubuhkan kilang sendiri yang kini beroperasi di Rawang, Selangor.
Premis tersebut bukan sahaja menghasilkan produk jenama peribadi, malah menawarkan perkhidmatan OEM kepada individu dan syarikat yang ingin mengeluarkan produk di bawah jenama masing-masing.
Bercerita lanjut, ujarnya, minat berniaga diwarisi daripada ibunya yang menjual makanan kepada rekrut tentera, sementara arwah bapanya pula seorang anggota tentera.
Aziela menyimpan hasrat untuk kilangnya dikenali di peringkat global sebagai pusat pengeluaran produk kesihatan berkualiti tinggi. — Facebook/Bonda Ziela
“Dari kecil saya tolong emak berniaga, jadi dari situ lahirnya semangat keusahawanan.
"Selepas berkahwin, saya berniaga kecil-kecilan dengan niat mahu membantu suami. Waktu itu, belum ada kilang sendiri lagi, saya cuma ambil produk daripada kilang dan pasarkan sendiri," jelasnya.
Meskipun industri perkilangan lazimnya didominasi lelaki, beliau membuktikan wanita juga mampu menguruskan operasi dengan cemerlang.
Apatah lagi bagi beliau, tidak semua insan dilahirkan untuk bekerja di bawah arahan orang lain.
"Saya tak boleh bekerja di bawah orang. Ada individu yang selesa begitu, tapi saya lebih suka bebas buat hal yang diinginkan dalam perniagaan,” jujurnya.
Usahawan wanita ini membekalkan pelbagai produk makanan kesihatan seperti kopi, coklat dan formulasi berasaskan herba. — Facebook/Bonda Ziela
Bantu wanita
Dengan semangat ingin membantu lebih ramai wanita menjaga kesihatan, ahli perniagaan itu mula fokus membekalkan pelbagai produk makanan kesihatan seperti kopi, coklat dan formulasi berasaskan herba.
Ia bukan sahaja disasarkan kepada pengguna tempatan, malah menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Kemboja.
Kilang OEM tersebut kini muncul sebagai antara pusat pengeluaran produk kecantikan dan pemakanan menawarkan perkhidmatan lengkap dari A hingga Z.
Aziela menambah, kilang berkenaan bukan sahaja memproses dan menghasilkan produk fizikal, malah mengurus segala keperluan teknikal dan perundangan bagi memastikan setiap produk dihasilkan mematuhi piawaian ditetapkan pihak berkuasa.
Dalam perancangan lima tahun akan datang, Aziela menyimpan hasrat untuk kilangnya dikenali di peringkat global sebagai pusat pengeluaran produk kesihatan berkualiti tinggi.
“Kami mahu dikenali sebagai pakar kopi anda, bukan sekadar menjual tetapi menghasilkan formulasi terbaik untuk pelanggan," bicara beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram