Wawa, Aeril ajar anak perempuan berniaga, kek batik Hayla 'laku keras'


  • Bonda
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Hayla mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya untuk menjalankan bisnes kek batik. — Instagram/w4w4_zainal

BARU berusia sembilan tahun, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, anak kedua kepada pasangan selebriti Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, kini ligat menerima tempahan kek batik.

Bisnes itu bukan sahaja mencuri perhatian ramai, malah mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya yang turut bergelar usahawan kosmetik menerusi jenama Wawa Cosmetics.

Malah, Aeril baru-baru ini menghadiahkan peti sejuk chiller khas kepada Hayla sebagai tanda galakan selepas anaknya itu serius menunjukkan minat dalam bidang kulinari.

BACA LAGI: Hasil didikan sejak kecil, Chryseis Tan amal prinsip usaha dan kerja keras besarkan anak-anak

BACA LAGI: [VIDEO] Tergamam ada orang 'hantar' kulit limau dan batang pinang, Aeril-Wawa buat laporan polis

Menariknya, Wawa dan Aeril bersama pembantu mereka turut sama turun padang membantu Hayla menguruskan tempahan kek, terutamanya apabila permintaan yang diterima meningkat dari semasa ke semasa.

Namun, di sebalik pencapaian awal itu, pasangan tersebut meluahkan rasa dilema mengenai masa depan anak mereka yang masih muda.

Perkara tersebut dikongsikan Wawa menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Jumaat lalu.

“Mama ayah dilema, (adakah Hayla) terlalu muda atau memang berbakat sejak awal?

“Masih mencari jawapan, saya mahu dia menikmati zaman kanak-kanaknya dengan bermain, belajar, bebas tanpa beban.

“Masih lagi berfikir-fikir, betul ke mama buat ni untuk menggalakkan Hayla terjun dalam bisnes? Apa pendapat mommies?” tulis Wawa.

Rata-rata warga maya memberikan pelbagai reaksi di ruangan komen. Ada yang menyokong agar bakat Hayla terus digilap, selagi seimbang dengan rutin pembelajarannya.

“Saya sejak tadika sudah dididik berbisnes, patut teruskan. Umur masa ini cepat belajar banyak benda, lagi-lagi apa yang dia minat,” kata syamimhasni.

Sementara itu, pengguna dengan nama akaun chempakafify pula berpendapat, aktif dalam perniagaan tidak bermakna kanak-kanak itu kehilangan masa kecilnya.

“Mami jangan risau. Buat kek ini bukan bermakna dia tak jadi kanak-kanak pun. Dia masih kanak-kanak, sokong minat anak asalkan seimbang dengan pelajaran,” ujarnya.

Untuk rekod, selain Hayla, Wawa dan Aeril yang mendirikan rumah tangga pada 2013 dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 11, Ayya Soffya, 5 dan Muhammad Fahri, 4. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram