
WALAUPUN usia hampir mencecah 70 tahun, kelincahan dan ketangkasan Noriah Salikin ketika mengangkat barbell seberat 35 kilogram (kg) membuatkan ramai terkesima.
Dengan wajah penuh fokus dan posisi bercangkungnya, ibu kepada empat anak itu bukan sahaja mampu mengangkat barbell, malah mengulanginya berkali-kali tanpa gentar.
Lebih mengagumkan, beliau pernah berjaya mengangkat barbell seberat 60kg, bersamaan dengan berat badannya sendiri.
“Apabila jurulatih beritahu perlu angkat 60kg, terbeliak biji mata saya, tapi beliau kata kalau nak tahu kekuatan diri, cuba angkat berat kita sendiri.
"Walaupun sekali, memang parah namun Alhamdulillah, terangkat juga," katanya.
Noriah kini merupakan ahli aktif kumpulan kecergasan Muslim with Muscles, di bawah bimbingan anaknya sendiri, Hilmi Anwar, 37, yang juga jurulatih peribadi beliau.
Bermula selepas usia 50-an
Minat terhadap kecergasan bukan hadir dalam sekelip mata. Menurut Noriah, ia terbit hanya selepas menunaikan ibadah haji, saat dirinya lebih serius menjaga kesihatan tubuh badan.
Ketika itu, aktiviti fizikal beliau hanya melibatkan berjalan pantas di taman permainan, bersenam bersama komuniti Cina di bawah blok perumahan dan penggunaan alat kecergasan awam.
Namun, segalanya berubah tahun lalu apabila buat pertama kali menjejakkan kaki ke gimnasium.
“Saya mak cik biasa, nak pergi gimnasium pun rasa seram sejuk. Namun jurulatih tanya, ‘kenapa tak cuba pertingkatkan diri?’
"Saya pun rasa tercabar. Orang tua ini pantang dicabar tau!” ujarnya tertawa.
Kini, rutin kecergasan Noriah merangkumi latihan berat seperti mengangkat barbell dan dumbel, senaman burpee, push-up, hanging abs crunches serta sesi latihan intensiti tinggi (HIIT) yang sering dikaitkan dengan golongan muda dan aktif.
Kini rutin kecergasan Noriah di gimnasium merangkumi latihan yang lebih berat. — Agensi
Sokongan keluarga
Sejak aktif bersenam, beliau merasai banyak perubahan positif dalam kehidupan hariannya.
Beliau kini lebih bertenaga, tidur lebih nyenyak dan selera makan meningkat.
Aktiviti seharian seperti mengangkat barang juga tidak lagi menjadi masalah seperti dahulu.
Malah, suaminya yang kini berusia 74 tahun turut sama menyertai beliau dalam rutin senaman harian di rumah.
Hampir setiap hari Noriah meluangkan masa melakukan senaman ringan dengan dumbel di ruang tamu, menjadikan kecergasan sebagai rutin pasangan itu bersama.
Noriah (duduk) ketika melakukan senaman dengan dumbel di gimnasium. — Agensi
Nasihat buat warga emas
Bagi Noriah yang bakal menyambut ulang tahun ke-70 Disember ini, usia bukan penghalang untuk kekal aktif dan sihat.
Namun katanya, setiap permulaan harus dilakukan secara bertahap dan konsisten.
“Kena positif dengan diri sendiri. Kalau rasa nak buat, yakin kita boleh buat. Jangan kata tak boleh, kerana tak semestinya tua, kita lemah.
“Orang yang baru nak mula pada umur saya, jangan kelam kabut. Buat ringan-ringan dahulu, tetapi konsisten.
"Kalau tidak seminggu dua tiga kali, sekurang-kurangnya seminggu sekali," pesan beliau.
Kisah Noriah membuktikan bahawa kecergasan tidak mengenal usia, yang penting ialah semangat, ketekunan dan kesediaan mencabar diri demi kesihatan serta kesejahteraan hidup di usia emas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram