
PEMPENGARUH media sosial, Rifdi Amri sah bergelar suami apabila melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya dalam satu majlis yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Menerusi beberapa hantaran di laman sosial miliknya, Rifdi berkongsi detik indah pernikahan mereka melalui foto dan video yang sempat dirakam lensa.
Bukan itu sahaja, luahan lelaki berusia 31 tahun itu mengenai penerimaan isteri terhadap dirinya ketika berada pada fasa paling mencabar dalam hidup turut menyentuh hati ramai.
Rifdi sebelum ini mendedahkan berat badannya pernah mencecah sehingga 191kg. — Instagram/rifdiamri
“Dia terima aku di saat berat hampir mencecah 200 kilogram (kg). Saat aku berada pada titik terendah dalam hidup.
"Dia selalu ada dengan aku, bagi semangat dan sekarang, aku memberikan versi terbaik diriku kepadanya,” tulis Rifdi di aplikasi Thread miliknya pada Isnin, disertai emoji hati.
Rifdi yang juga merupakan pengasas bersama syarikat perkhidmatan pengiklanan, Jomkita Sdn Bhd sebelum ini mendedahkan berat badannya pernah mencecah sehingga 191kg.
Namun, beliau berjaya menurunkan sebanyak 44kg dalam tempoh empat bulan menerusi pembedahan bariatrik pada November 2023, kawalan pemakanan dan rutin senaman secara konsisten.
Dalam hantaran sama, Rifdi turut menitipkan pesanan buat mereka yang mengalami cabaran serupa agar tidak berputus asa.
“Kepada mereka di luar sana yang macam aku, tolong jangan berputus asa. Percaya pada pencaturan ALLAH, terus istiqamah dan tawakal.
"Obes dan gemuk ini tak menarik, perlahan-lahan kayuh, nikmati perjalanan itu. Jangan target nak kurus, tapi letak sasaran nak hidup sihat. Aku doakan kalian okey,” katanya lagi.
Perkongsian Rifdi menerima reaksi positif daripada para pengikutnya yang rata-rata memberikan ucapan tahniah serta mengagumi semangat dan ketabahannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram