
USIANYA baru menginjak 11 tahun, namun keberanian dan kemahiran seorang kanak-kanak kacukan Melayu-Hungary mengemudi bot untuk ke sekolah merentasi lautan berjaya mencuri perhatian ramai di media sosial.
Armin Jamaludin, anak sulung kepada Jamaludin Musa, 41, dan isterinya yang berasal dari Budapest, Hungary, Rozalia Bodi, 43, tular selepas bapanya memuat naik video memaparkan dirinya lengkap berpakaian seragam sekolah sambil mengendalikan bot di perairan sekitar Kampung Salang, Pulau Tioman, Pahang.
Berdasarkan perkongsian di akaun TikTok milik Jamaludin, perjalanan anak-anaknya ke sekolah bukanlah sesuatu yang mudah.
BACA LAGI: Kecoh dituduh punca guru, murid jatuh jeti usang roboh di Semporna, ini jawab Shafie Apdal
Jamaludin (belakang) bergambar bersama isteri dan anak-anaknya. — TikTok/Jamaludin
Ujarnya, tiada jalan darat yang sesuai menghubungkan kampung mereka ke sekolah.
"Kalau jalan kaki, (perjalanan itu boleh mengambil masa sehingga) empat jam melalui hutan dan berbukit.
“Kalau air cantik, ambil masa 10 minit. Kalau ada ombak, dalam 20 minit juga. Dari rumah, Armin naik motor ke jeti, lepas itu bot ke seberang dan naik motor lagi ke sekolah. Guna tiga jenis pengangkutan setiap hari,” katanya.
Malah, murid Sekolah Kebangsaan Tekek itu juga sering membantu bapanya menghantar rakan-rakan dari kampung mereka dan kampung berhampiran ke sekolah menaiki bot milik keluarga.
Tidak hanya kecekapan mengemudi bot yang menarik perhatian, tetapi juga kerana pencapaian Armin dalam pendidikan dan bidang sukan.
Kongsi Jamaludin lagi, Armin yang juga memiliki lesen Junior Open Water Diver kini mewakili sekolah dan daerah dalam acara renang, terjun dan perahu layar.
“Sekarang Armin dah wakil sekolah untuk renang, terjun dan perahu layar. Aida pun ikut jejak abangnya,” katanya.
Jamaludin turut berkongsi kisah perkenalannya dengan Rozalia yang bermula ketika wanita itu melancong ke Pulau Tioman.
“Masa itu saya bawa dia (isteri) pergi menyelam. Dari situ kami mula kenal hati budi,” ceritanya.
Keberanian dan ketabahan Armin bukan sahaja menjadi inspirasi kepada rakan sebaya, tetapi juga membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk bertanggungjawab dan berdikari, walaupun terpaksa meredah lautan setiap hari demi ilmu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram