
HAKIKATNYA mewarna merupakan salah satu aktiviti kegemaran kanak-kanak terutamanya ketika mengisi masa lapang.
Bagaimanapun, pada hari ini ia bukan sekadar hobi semata-mata, malah dijadikan ruang mengasah bakat dengan menyertai pertandingan mewarna yang dianjurkan.
Tambahan pula, sesetengah ibu bapa menyifatkan aktiviti mewarna bukan sahaja membantu anak mereka mengenali warna, malah menjadi medium penting mengekspresikan emosi, perasaan dan imaginasi secara bebas.
Ia turut menjadi saluran terapeutik, terutama bagi kanak-kanak yang masih belajar menzahirkan emosi melalui tutur kata.
Bagi kanak-kanak, setiap warna yang digunakan dalam lukisan membawa makna tersendiri, sama ada secara sedar atau tidak.
Melalui pilihan warna, mereka dapat menggambarkan perasaan misalnya, warna cerah seperti kuning dan merah sering dikaitkan dengan perasaan gembira dan bertenaga, manakala warna gelap seperti biru dan hitam kadang-kadang menggambarkan kesedihan atau ketenangan.
Mewarna berupaya membina kekuatan tangan, kemahiran persepsi visual dan ketepatan genggaman.
Menurut pakar psikologi, terdapat banyak kemahiran yang boleh dicungkil pada setiap kanak-kanak melalui aktiviti mewarna itu sendiri.
Mewarna berupaya membina kekuatan tangan, kemahiran persepsi visual dan ketepatan genggaman.
Bukan itu sahaja, ia juga mampu meningkatkan keyakinan, membangunkan pemahaman tentang sebab dan akibat serta meningkatkan fokus dan perhatian kanak-kanak.
Mengakui akan hal itu, Muhammad Ali Sudin, 41, berkata, beliau sendiri menyaksikan kesan positif selepas anaknya aktif dalam aktiviti mewarna dan melukis, termasuk menyertai pertandingan di sekolah dan acara komuniti.
"Sebagai ibu bapa, kalau tahu dan faham manfaat mewarna sebenarnya banyak yang boleh kita bantu anak-anak.
"Bukan sekadar bagi pensel warna dan biarkan mereka, tapi kita sendiri boleh duduk sekali, ajar dan beri galakan. Anak-anak akan rasa lebih dihargai dan yakin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau yang dibawakan khas oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Aman Central, Kedah pada Sabtu lalu.
Muhammad Ali (kanan) antara ibu bapa yang membawa anak-anak menyertai pertandingan mewarna pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Aman Central, Kedah pada Sabtu lalu.
Tambahnya, program seperti itu memberi ruang kepada ibu bapa untuk lebih dekat dengan anak-anak, sekali gus memahami kecenderungan dan emosi mereka melalui karya dihasilkan.
“Saya tengok anak semakin fokus dan lebih tenang sejak aktif mewarna. Adakalanya mereka tunjuk perasaan melalui warna, kalau sedih warnanya suram.
"Sebaliknya apabila gembira, warna-warna cerah yang dipilih. Dari situ saya tahu apa yang dirasai,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Halimatun Saadiah Yaakob, 35, pertandingan mewarna memberi peluang besar untuk pembelajaran dan pengalaman sosial yang tidak ternilai buat anaknya.
Beliau berkata, kehadiran mereka ke siri pertama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF itu bukan sekadar untuk berseronok, tetapi juga memberi ruang buat anaknya menyertai pertandingan mewarna dan belajar daripada penyertaan kanak-kanak lain.
“Ramai berpendapat pertandingan mewarna biasa saja, tapi apabila datang sini, kita tengok sendiri sebenarnya ramai budak sangat berbakat.
"(Mereka) mewarna dengan cantik, tahu gabung tona dan pilih warna dengan kreatif. Kita sebagai ibu bapa juga boleh belajar,” jelasnya.
Pertandingan mewarna secara tidak langsung memberi ruang kepada ibu bapa untuk lebih dekat dengan anak-anak.
Turut senada, Anis Mardiah Yaakob mengakui, membawa anaknya menyertai pertandingan mewarna merupakan salah satu cara terbaik untuk memberi pendedahan awal kepada dunia luar dan membina keyakinan diri.
Ujar ibu berusia 31 tahun itu lagi, pengalaman tersebut secara tidak langsung membantu anaknya lebih berani dan yakin, terutama ketika berinteraksi sendiri dengan pelbagai aktiviti disediakan di lokasi acara.
"Aktiviti mewarna memberi ruang kepada anak-anak untuk mengekspresikan diri dan belajar daripada persekitaran.
“Apabila bergaul dengan peserta lain, mereka belajar secara semula jadi. Kadang-kadang kita tak sedar mereka ambil inspirasi daripada sekeliling dan lebih terbuka mencuba benda baharu," bicaranya.
Jelasnya, di sebalik warna-warni lukisan kanak-kanak, tersembunyi nilai penting dalam proses membentuk sahsiah dan keyakinan diri generasi muda.
Itulah antara matlamat cuba dicapai menerusi pertandingan mewarna tersebut, yang berlangsung penuh meriah dengan penyertaan kanak-kanak dari pelbagai latar belakang.
Jacqueline pemenang tempat pertama bagi pertandingan mewarna kategori A pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF.
MPOGCF mengambil pendekatan berbeza dengan tidak hanya menilai kemahiran seni, tetapi juga menyelitkan elemen pendidikan berteraskan pemuliharaan flora dan fauna.
Para peserta diberikan kertas lukisan menampilkan haiwan liar ikonik negara seperti Orang Utan, gajah dan harimau dikelilingi hutan hujan tropika.
Haiwan-haiwan itu dipilih kerana ia antara spesies utama menjadi fokus pemuliharaan di bawah inisiatif yayasan berkenaan.
Dengan memperkenalkannya melalui medium kreatif seperti mewarna, kanak-kanak bukan sahaja diasah dari segi kreativiti dan koordinasi motor halus, malah secara tidak langsung didedahkan pada isu-isu alam sekitar sejak usia muda.
Untuk rekod, pemenang pertandingan mewarna bagi kategori A iaitu berumur 10 hingga 12 tahun dimenangi oleh Jacqueline Khor, 11, diikuti Nur Putri Qalesya Elfira Md Azman, 12, dan Nur Anis Zahira Azhar, 10.
Sementara pemenang bagi Kategori B (enam hingga sembilan tahun) disandang oleh Nur Afrina Aleesya Norhisyam, 8 (Tempat Pertama), disusuli Nur Aisyah Alfiyyah Hezri, 8, dan Nur Qaira Qasrina, 9.
Hairulazim (tiga dari kiri) dan DJ Lin (dua dari kiri) pada sesi mengumumkan pemenang pertandingan mewarna pada Jelajah Sawit Hijau di Aman Central, Kedah, Sabtu.
Bermula seawal 10 pagi, acara Jelajah Sawit Hijau MPOGCF itu memilih tagline, Konservasi Kunci Sawit Mampan, siri pertama acara berkenaan dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group.
Program julung kalinya dicetuskan MPOGCF turut menampilkan rakan strategik Barn Owl & Rodent Research Group (BORG), Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME) dan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara.
Pelbagai aktiviti dianjurkan untuk menarik minat masyarakat termasuk menyalurkan maklumat tentang kehidupan alam semula jadi di Malaysia.
Acara turut dihadiri oleh Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud; Pengurus Komunikasi Strategik MPOCGF, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram