5 wanita muda terajui kepimpinan, ejen perubahan landskap digital, tersenarai Forbes 30 Under 30 Asia 2025


  • Sukses
  • Rabu, 28 Mei 2025

Qiyun terpilih sebagai salah seorang Young Explorers National Geographic dan disenaraikan dalam BBC 100 Women. — Instagram/Woo Qiyun

DARIPADA ilustrasi berwarna-warni sehinggalah aksi pembersihan sungai tercemar, generasi muda Asia kini tampil sebagai pemimpin dan ejen perubahan dalam landskap digital.

Tahun ini, senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2025 bagi kategori Media, Pemasaran dan Pengiklanan menampilkan semakin ramai wanita muda dari pelbagai negara dan latar belakang diiktiraf atas sumbangan mereka dalam mendidik, menginspirasi dan mendorong tindakan positif.

Senarai berprestij itu mengiktiraf individu di bawah usia 30 tahun yang membentuk masa depan industri masing-masing.

BACA LAGI: Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 platform kukuh kerjasama serantau, usaha sama rata gender dalam sektor ekonomi

BACA LAGI: [VIDEO] Obses dengan ikan duyung sejak kecil, Kamelia bina jenama kosmetik penuh karakter

Kali ini, pencapaian wanita dalam bidang media sosial, komunikasi visual, aktivisme alam sekitar dan pemasaran digital dilihat cukup menyerlah.

1) Woo Qiyun

Antara meraih perhatian, Woo Qiyun dari Singapura yang memulakan halaman Instagram The Weird and Wild pada 2018 ketika menuntut dalam jurusan pengajian alam sekitar di National University of Singapore.

Niat asalnya mudah, ingin berkongsi tip gaya hidup lestari bersama rakan-rakan.

Namun kini akaun tersebut berkembang menjadi platform pendidikan diikuti lebih 25,000 pengguna Instagram.

“Matlamat saya sejak awal adalah untuk mencipta sesuatu yang diminati dan pada masa sama perkara boleh membantu individu lain,” katanya.

Kini bertugas sebagai Pengurus Kanan Komunikasi di Panel Antara Kerajaan PBB mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Qiyun juga mengacarakan audio siar Climate Cheesecake dan menjadi tenaga kreatif di sebalik kempen visual untuk jenama seperti Mercedes-Benz, Decathlon serta Temasek Trust.

Bagi Qiyun, hasrat utamanya adalah untuk mengubah pemikiran dan menggalakkan orang ramai mengambil tindakan.

Dedikasinya terhadap alam sekitar mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pada 2023, Qiyun terpilih sebagai salah seorang Young Explorers National Geographic dan disenaraikan dalam BBC 100 Women.

2) Renren Galeno

Buku pertama Renren pelukis visual wanita berasal dari Filipina. — Instagram/Renren Galeno

Dari Filipina pula, pelukis visual wanita, Renren Galeno menerima pengiktirafan global selepas karya ilustrasinya dalam laporan Searching for Maura untuk Washington Post tersenarai sebagai finalis Hadiah Pulitzer 2024.

Buku pertamanya berjudul Sa Wala (Nothing to Lose) memenangi Anugerah Buku Kebangsaan Filipina untuk Novel Grafik Bahasa Inggeris Terbaik dan menyumbang kepada antologi perubahan iklim Ten Years to Save the World.

3) Ka Yan Tam

Ka Yan menarik lebih 300,000 pengikut dengan ilustrasi makanan Kantonis di akaun Instagram Nomkakaii. — Instagram/Ka Yan Tam

Dalam dunia seni ilustrasi, senarai Forbes turut menampilkan Ka Yan Tam dari Hong Kong yang menggunakan media sosial untuk mempopularkan seni ilustrasi makanan dengan gaya tersendiri.

Ka Yan menarik lebih 300,000 pengikut dengan ilustrasi makanan Kantonis di akaun Instagram Nomkakaii.

Projek terkininya, Everyday Toast telah menghasilkan lebih 400 lukisan roti bakar dan membawa kepada pameran solo pertamanya di Tokyo pada April 2024 serta kerjasama dengan Vivienne Westwood Cafe dan Midori Matcha.

4) Krishna Priya Akella

Akella tampil sebagai antara tokoh muda paling menyerlah dengan kejayaan platform Starbuzz. — Instagram/Krishna Priya Akella

Dalam era pemasaran digital yang kian kompetitif, Krishna Priya Akella tampil sebagai antara tokoh muda paling menyerlah dengan kejayaan platform ciptaannya, Starbuzz, platform pemasaran pempengaruh berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Diasaskan pada 2021, Starbuzz menawarkan penyelesaian pintar membolehkan jenama mengenal pasti pempengaruh paling relevan, mengurus dan mengukur keberkesanan kempen digital menerusi analitik data terperinci, selain mengesan pengikut palsu.

Di bawah kepimpinan Akella selaku pengasas dan ketua pegawai eksekutif, Starbuzz kini memiliki rangkaian seramai 45,000 pempengaruh di platformnya dan telah menarik kepercayaan jenama besar seperti Meta dan Mercedes-Benz sebagai antara pelanggannya.

5) Natasha Etschmann

Etschmann turut mengacarakan audio siar untuk membantu masyarakat memahami pengurusan kewangan secara berhemah. — Instagram/Natasha Etschmann

Dikenali sebagai Tash Invests dalam kalangan hampir 300,000 pengikut di Instagram dan TikTok, Natasha Etschmann menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan tip pelaburan dan kewangan ringkas serta mudah difahami sejak 2020.

Berpangkalan di Melbourne, Etschmann bukan sahaja aktif di media sosial, malah turut mengacarakan audio siar Get Rich Slow Club bersama rakan hos untuk membantu masyarakat memahami pengurusan kewangan secara berhemah.

Beliau juga menerbitkan buku bertajuk How to Not Work Forever, yang membincangkan strategi membina kebebasan kewangan dalam jangka panjang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram