
IMPIAN pasangan suami isteri di Indonesia untuk menunaikan ibadah haji akhirnya tercapai selepas menabung selama 17 tahun hasil titik peluh berniaga dan menjadi tukang parkir.
Ujud Pranoto, 61, yang bekerja sebagai penjaga parkir di Jalan Sumatera, Kota Madiun, Jawa Timur bersama isterinya, Sariyati, 50, bakal berangkat ke Tanah Suci pada Jumaat, 16 Mei ini.
Lebih mengharukan lagi, pasangan itu sanggup mengetepikan pendapatan harian hasil berniaga soto dan menjaga parkir kenderaan demi merealisasikan hasrat ke Makkah.
Menurut Ujud, dia mula menyimpan wang sejak 2008 hasil kerja sebagai tukang parkir dan menjual soto bersama isterinya.
BACA LAGI : [VIDEO] Suami isteri parah dirempuh pikap langgar lari di NKVE
BACA LAGI : [VIDEO] 'Biar miskin, jangan jadi scammer', mangsa kongsi pengalaman ditipu menerusi pautan WhatsApp
"Kami cuba menyimpan Rp50,000 (sekitar RM13) sehari dan Alhamdulillah pada 2012 berjaya mendaftar haji.
"Bukan tanpa perjuangan. Untuk mewujudkan mimpi kami beribadah di Tanah Suci, saya yang bekerja sebagai tukang parkir dan isteri yang berniaga di warung harus menabung hingga 17 tahun," katanya ketika ditemui wartawan Kompas di tempat kerjanya.
Mengenakan rompi oren dan bertopi hitam, Ujud tetap cekap menata motosikal yang parkir di sepanjang Jalan Sumatera, Kota Madiun.
Walaupun sudah berusia, dia masih kelihatan lincah, malah tangannya tangkas memastikan motosikal tersusun rapi.
Bagi Ujud, sebagai seorang Muslim, ibadah haji adalah rukun Islam kelima dan menjadi lambang kesempurnaan iman. — Agensi
Lelaki yang dikurniakan tiga cahaya mata ini turut berkongsi, dia setiap hari mengajak isterinya berjalan pagi bagi memastikan mereka cergas ketika menunaikan ibadah haji kelak.
"Haji itu ibadah fizikal. Jadi kami harus mempersiapkan kesiapan fizikal kami sejak sekarang," ujarnya
Pasangan dari Jalan Lumbung Hidup, Kelurahan Ngegong itu menjelaskan mereka nekad menyimpan selepas melihat saudara-mara dan rakan yang sudah menunaikan ibadah haji.
Bagi Ujud, sebagai seorang Muslim, ibadah haji adalah rukun Islam kelima dan menjadi lambang kesempurnaan iman.
"Saya ingin naik haji agar sempurna sebagai Muslim," tambahnya.
Ujud turut berkongsi kisah merantau ke Kota Madiun dari kampung halamannya di Kabupaten Lamongan, Jawa Timur demi mencari rezeki.
Dia mula menjual soto sejak tahun 1990, manakala isterinya ketika itu membuka warung di hadapan Satlantas, Ibu Pejabat Polis Madiun Kota.
Namun, semasa pandemik melanda Covid-19, perniagaan mereka turut terkesan dan lokasi jualan mereka pula terjejas akibat pembangunan semula kawasan.
Menurut Saryati, perjalanan mereka tidak mudah dan banyak halangan.
"Selepas warung kami dirobohkan pihak berkuasa pada 2019, suami saya beralih kerja sebagai tukang parkir.
"Saya pula diberi tapak baru untuk menjual minuman dan makanan ringan, termasuk membuka kedai runcit yang beroperasi 24 jam," jelas Sariyati.
Haji adalah ziarah suci yang dilakukan umat Islam ke Makkah, Arab Saudi setiap tahun dan merupakan yang terbesar di dunia. — Agensi
"Kerana bapak (suami) tidak ada kerja, kemudian jadi tukang parkir di depan balai polis Satlantas Madiun Kota di Jalan Sumatera.
"Bekerja mulai dari pukul 6 pagi sampai pukul 1 tengah hari," tambahnya.
Ujud dan Sariyati sepatutnya dijadualkan berangkat menunaikan haji pada tahun 2020, namun pandemik Covid-19 menyebabkan hasrat mereka tertunda.
Kini, selepas menanti selama lima tahun, pasangan itu akhirnya dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada16 Mei ini.
Menjelang seminggu sebelum keberangkatan, mereka giat membuat persiapan termasuk dari segi fizikal, mental dan keperluan logistik ibadah haji.
Ujud dan Sariyati juga merasa lebih tenang kerana ketiga-tiga anak mereka kini sudah bekerja dan hidup stabil.
"Anak pertama kami bekerja sebagai guru, anak kedua seorang pelaut, dan anak bongsu anggota Tentera Udara Indonesia (TNI AU)," katanya.
Selepas pulang dari menunaikan haji, Ujud dan isterinya berhasrat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Insya-ALLAH selepas pulang dari haji, kami akan terus bekerja seperti biasa. Rezeki kami dari parkir dan berniaga kecil-kecilan," kata Sariyati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram