[VIDEO] Pembuat kek wanita curi tumpuan kongsi video 'makan' perabot, perhiasan kediaman mewah di Bangkok


  • Maya
  • Isnin, 26 Mei 2025

Tangkap layar memaparkan gelagat Mameaw memakan pelbagai bahagian dalam rumah tersebut, yang diperbuat daripada kek.

SEORANG pencipta kandungan dari Thailand mencuri perhatian ramai selepas berjaya mencipta kek menyerupai perabot dan hiasan dalaman di sebuah kediaman.

Video berkenaan dimuat naik menerusi laman Instagram mmfuwong, yang juga merupakan pemilik kedai kek dan pastri mewah yang beroperasi di Bangkok.

Dalam rakaman tersebut, wanita dikenali sebagai Mameaw itu dilihat berpusing-pusing dalam sebuah rumah mewah sambil berpura-pura membuat lawatan (house tour), sebelum menunjukkan dirinya memakan pelbagai bahagian dalam rumah tersebut, yang diperbuat daripada kek.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: Generasi ketiga kedai kopi tradisional Kek Seng kekalkan nostalgia lama, pejam celik sudah berusia 118 tahun

 

 

Antaranya termasuklah dinding, kusyen, tiang tangga, lampu bilik, batu hiasan dan juga selimut, semuanya direka menyerupai perabot dan perhiasan sebenar, mencetuskan kekeliruan yang menghiburkan.

Rekaan kek itu tidak hanya menarik secara visual, tetapi juga melalui ketelitian tinggi dalam proses pembuatannya.

Kek dibentuk menyerupai objek sebenar dengan tekstur, warna dan bentuk yang sangat realistik, menjadikannya sukar dipercayai bahawa ia adalah makanan.

Namun, video unik tersebut sebenarnya merupakan salah satu bentuk ulasan kreatif terhadap projek kediaman mewah, Eliva Private Residences, yang terletak di kawasan Lat Phrao, Bangkok.

Sebagai seorang pembuat kek profesional dengan pendekatan eksentrik, Mameaw memilih untuk menampilkan gaya kandungan luar biasa itu bagi menarik perhatian orang ramai.

Rata-rata netizen mengakui terhibur dengan video tersebut, malah memuji kreativiti dan gaya penyampaian berbeza digunakan oleh usahawan itu.

Tidak kurang juga yang kagum dengan perincian visual dan cara beliau menyatukan seni kulinari dan pemasaran hartanah dalam satu video pendek yang menghiburkan.

Untuk rekod, Mameaw sememangnya dikenali dalam industri sebagai pembuat kek dengan sentuhan luar kotak.

Sebelum ini, beliau pernah tular kerana mencipta kek perkahwinan sembilan tingkat diperbuat daripada jeli, yang menyerlahkan estetika halus dan elemen kejutan.

Selain itu, Mameaw juga terkenal dengan kek yang direka menyerupai pelbagai objek harian.

Daripada beg tangan, barangan kosmetik, pakaian sehingga ke objek perhiasan, semuanya dijadikan kek yang boleh dimakan.

Hasil tangannya menjadikan beliau antara penggiat seni kek paling inovatif dan dikenali di Thailand. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram