Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 platform kukuh kerjasama serantau, usaha sama rata gender dalam sektor ekonomi


  • Primer
  • Selasa, 27 Mei 2025

Tengku Zafrul (tiga dari kanan) ketika menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 pada Sabtu. — MITI

SIDANG Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) melabuhkan tirai setelah dua hari berlangsung dengan jayanya bermula 24 hingga 25 Mei lalu.

Persidangan di ibu negara itu menyaksikan kehadiran ratusan pemimpin berwawasan, usahawan, pembuat dasar dan pencetus perubahan dari seluruh rantau.

Bertemakan Empowering Women, Energising ASEAN: Pioneering Economic Integration for a Resilient Tomorrow, AWES 2025 tampil sebagai platform utama serantau dalam memperkukuh kepimpinan wanita dan mempercepat usaha ke arah kesamarataan gender dalam sektor ekonomi ASEAN.

BACA LAGI: Perdana Menteri Thailand, Duta Besar Filipina ke Malaysia antara pemimpin wanita hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

BACA LAGI: Pendidikan asas kukuh, perkasa wanita ke arah kepimpinan — Fadhlina

Sidang kemuncak anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan kerjasama strategik Women Leadership Foundation (WLF) itu menandakan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan agenda pembangunan mampan dan inklusif melibatkan penyertaan aktif wanita dalam arus ekonomi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, usaha memperkasakan wanita bukan sekadar isu hak asasi tetapi juga satu strategi ekonomi yang berkesan dalam meningkatkan daya saing dan ketahanan rantau ini.

Menurutnya, Malaysia bakal menubuhkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita ASEAN yang pertama beroperasi di ibu negara.

"Pusat berkenaan akan menjadi platform serantau untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam sektor ekonomi serta menyokong pembangunan kapasiti wanita ASEAN.

"Ia juga bagi memastikan potensi dan peluang dalam blok serantau dapat diakses semua golongan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), belia dan wanita,” katanya.

Legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David (kanan) antara figura wanita yang sempat membuat perkongsian sempena AWES 2025. — MITI

Pelbagai sesi forum, bengkel dan perkongsian pengalaman turut diadakan sepanjang sidang berlangsung, melibatkan tokoh wanita ternama dalam bidang perniagaan, teknologi, pendidikan serta keusahawanan sosial dari negara-negara ASEAN.

Antara fokus utama AWES 2025 termasuklah membina jaringan kerjasama serantau, memperkukuh keupayaan wanita dalam sektor digital dan hijau dan menggalakkan akses kepada pembiayaan serta pasaran global bagi perniagaan milik wanita.

Penganjuran AWES 2025 dilihat sebagai langkah signifikan dalam usaha menjadikan ASEAN sebagai rantau lebih seimbang, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan dengan wanita sebagai sebahagian penting daripada solusi.

Untuk rekod, AWES 2025 yang julung kali diadakan berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram