
SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu kota menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara untuk perbincangan peringkat tinggi yang tertumpu kepada kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik.
Ia bukan sahaja menjadi platform strategik memperkukuh hubungan tiga blok serantau utama melibatkan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, malah turut menyaksikan kehadiran pemimpin wanita dari pelbagai negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan serantau dan global.
BACA LAGI: Sidang Asean 2025: Beberapa laluan di Selangor ditutup berperingkat bermula 11 pagi
BACA LAGI: Anugerah WEF ASEAN 2025 angkat darjat pemimpin wanita pelbagai sektor
Berikut Majoriti senaraikan antara susuk pemimpin wanita yang hadir ke persidangan pada kali ini:
1. Paetongtarn Shinawatra
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra muncul sebagai salah seorang ketua kerajaan wanita yang paling muda dan progresif di ASEAN.
Kehadirannya menyerlahkan tekad Thailand dalam memperkukuh kerjasama serantau, selain memperjuangkan suara wanita di pentas global.
Hafsah Hashim mengetuai Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025. — Instagram/hafsahhashimm
2. Hafsah Hashim
Pengerusi Women Leadership Foundation (WLF), Datuk Dr Hafsah Hashim mengetuai Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 24 Mei lalu, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Acara itu dianjurkan WLF dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia.
AWES menghimpunkan lebih 700 wanita pemimpin, ahli akademik dan usahawan untuk membincangkan strategi pertumbuhan ekonomi inklusif serantau di bawah tema 'Memperkasa Wanita, Mencergaskan ASEAN'.
3. Hartini Osman
Pengerusi Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025, Datin Dr Hartini Osman turut hadir untuk memperkukuh jaringan kepimpinan wanita.
Bertemakan Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy, beliau mengetuai penganjuran forum ekonomi wanita yang akan berlangsung pada Jun depan.
Forum tersebut bakal memberi fokus terhadap inovasi, kerjasama rentas sempadan dan kepimpinan transformasi.
Maria Angela (duduk) memainkan peranan diplomatik dalam memupuk hubungan harmoni antara negara anggota ASEAN.
4) Maria Angela
Sebagai Presiden ASEAN Ladies’ Circle (ALC) penggal 2025–2026, Duta Besar Filipina ke Malaysia, Maria Angela Abrera Ponce memainkan peranan diplomatik dalam memupuk hubungan harmoni, pertukaran budaya dan kerjasama sosial antara negara anggota ASEAN.
Beliau turut berperanan dalam menyokong penyertaan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr ketika sidang kemuncak tersebut.
5) Munirah Looi
Ahli Lembaga MyDigital Corp dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau BlueOnion, Datuk Dr Munirah Looi merupakan antara figura penting dalam landskap digital ASEAN.
Pada Sidang Kemuncak Usahawan Wanita ASEAN-Jepun yang berlangsung pada Februari lalu, beliau telah menyampaikan ucaptama menekankan kepentingan ketangkasan, daya tahan dan transformasi digital bagi usahawan wanita serantau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram