[VIDEO] Sudah tidak mengenali keluarga sendiri, wanita kongsi realiti nenek 93 tahun alami dementia


  • Bonda
  • Isnin, 26 Mei 2025

Jess terus berkongsi momen antara dirinya dengan nenek, walaupun dalam keadaan serba mencabar. — Jessica

SEORANG wanita meraih jutaan tontonan di TikTok selepas berkongsi kisah menyayat hati mengenai neneknya yang menghidap dementia dan tidak lagi mengenalinya. 

Kisah tersebut bukan sahaja menyentuh hati pengguna media sosial, malah turut membuka mata ramai tentang realiti kehidupan pesakit dementia.

Jessica atau lebih mesra disapa Jess, 27, yang bekerja dalam bidang pentadbiran, berkongsi kisah neneknya, Dorothy Jean atau Jean, 93, yang didiagnosis menghidap dementia vaskular dan Alzheimer sejak 2017. 

BACA LAGI: Penjagaan awal mampu cegah Alzheimer

BACA LAGI: Kopi mampu tingkatkan risiko dementia

Jess (kanan) bersama neneknya ketika belum didiagnos menghidap dementia. — Jessica

Menurut Jess, gejala neneknya bermula dengan masalah pelupa dan ketidakseimbangan, sebelum beransur-ansur menjadi lebih serius.

Kini, Jean terlantar di sebuah rumah jagaan dan tidak lagi mampu makan, minum atau mengenakan pakaian sendiri. 

Namun lebih memilukan hati Jess adalah apabila pada suatu hari tahun lalu, Jean langsung tidak mengingati siapa dirinya.

“Dia benar-benar lupa seluruh kehidupan yang dibina, hanya tinggal bayang dirinya sahaja.

“Ada kalanya dia seolah-olah hidup pada masa silam dan tidak tahu pun dirinya mempunyai cucu," katanya dalam wawancara bersama PA Real Life. 

Kisah keluarga Jess mendapat perhatian ramai selepas beliau mula memuat naik rakaman memaparkan momen bersama neneknya menerusi akaun TikTok @little_jessx

Salah satu videonya yang menunjukkan Jean bertanya identiti Jess selepas tidak dapat mengingati namanya, meraih lebih 17.1 juta tontonan.

Jess berkata, perkongsian itu bukan sekadar luahan peribadi, tetapi juga sebagai usaha memberi kesedaran dan sokongan kepada individu lain yang berdepan pengalaman sama.

“Saya tak mahu sesiapa rasa sunyi melalui proses ini. Ramai yang sedang lalui fasa sama, jadi apabila lihat kisah saya, mereka tahu mereka tidak keseorangan,” katanya.

Jean, yang berasal dari Chesterfield, England merupakan bekas pekerja kilang gula-gula Trebor dan pernah menerima surat daripada Ratu Elizabeth II sempena ulang tahun perkahwinan Berlian (60 tahun) bersama mendiang suaminya, Arthur.

Ikatan antara Jean dan Jess sangat rapat, dengan Jean banyak membantu membesarkan cucunya itu.

“Saya dibesarkan olehnya. Dia ajar saya makan, minum dan berjalan. Dia hadir di setiap persembahan tarian, sentiasa menyokong saya tanpa gagal,” luahnya.

Meskipun keluarga Jess berasa sedikit lega setelah Jean disahkan menghidap dementia kerana akhirnya mendapat penjelasan kepada keadaan dialami, mereka tetap berdepan cabaran besar dalam menguruskan perubahan tingkah laku dan kesihatan Jean yang semakin merosot.

Kini, Jean berada dalam fasa akhir hidup dan memerlukan penjagaan sepenuh masa. 

Jess melawat neneknya kira-kira empat kali seminggu, sambil cuba merangsang memori Jean dengan lagu dan perbualan lama. 

Namun, keadaan menjadi lebih memilukan apabila Jean sering bertanya nama Jess, malah pernah menyangka cucunya itu adalah salah seorang pekerja rumah jagaan.

“Apabila beritahu nama Jessica, nenek akan kata, 'oh wow, saya ada seorang Jessica di rumah, dia cucu saya', tapi langsung tak tahu bahawa sayalah cucu tersebut,” cerita Jess lagi.

Jean merupakan bekas pekerja kilang gula-gula Trebor. — Jessica

Malah, beliau pernah membatalkan rancangan bersama rakan semata-mata untuk menghabiskan masa dengan nenek tercinta.

Bagi Jess, kehilangan pengenalan diri neneknya merupakan detik paling menyedihkan.

“Saya fikir, bagaimana (nenek) boleh lupa 27 tahun hidup yang kita lalui bersama? Ia benar-benar menghancurkan hati,” akuinya.

Namun, Jess tetap tabah dan melihat platform media sosial sebagai ruang penyembuhan, bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga komuniti yang turut bergelut dengan penyakit dementia. 

Dengan lebih 1.4 juta pengikut di TikTok, Jess terus berkongsi momen, harapan dan kasih sayang antara cucu dan nenek, walaupun dalam keadaan serba mencabar.

“Dementia sukar dijangka, tapi mereka tetap ada walau dalam kegelapan. Masih ada keindahan dalam setiap momen kecil yang kita cipta bersama,” katanya penuh emosi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram