
SEORANG wanita berkongsi pertemuan mengharukan apabila secara tidak sengaja terserempak dengan bekas guru besar sekolah rendahnya, yang kini dilihat mengutip kotak-kotak kitar semula di jalanan.
Wanita warga emas itu dikenali sebagai Dr Elvira R Barcelo, bekas guru besar di Mariano C San Juan Elementary School, sebuah sekolah rendah di wilayah Laguna, Filipina yang suatu ketika dahulu menjadi tempat beliau membimbing ratusan pelajar dengan penuh dedikasi, kebijaksanaan dan kasih sayang.
Namun hari ini, pada usia 81 tahun, Dr Barcelo dilihat mengutip kotak-kotak terpakai, bukan kerana beliau telah jatuh atau menyerah kepada keadaan, tetapi kerana memilih untuk terus berdikari dan melangkah ke hadapan dengan bermaruah.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Muda dulu sibuk kerja', bekas guru usia 82 tahun aktif sertai kelas tarian, pasukan sorak
"Gelaran boleh berubah, namun tujuan. maruah dan kekuatan tidak," tulis wanita itu dalam satu hantaran di aplikasi TikTok, clarisse5discountklook baru-baru ini.
Difahamkan, Dr Barcelo kini hidup bersendirian selepas semua ahli keluarganya meninggal dunia.
Beliau mempunyai seorang anak angkat, namun dikatakan anak tersebut mengalami masalah kesihatan mental, namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran maklumat itu.
Kata wanita itu lagi, Dr Barcelo tidak meminta bantuan daripada sesiapa pun, namun jelas sekali beliau berada dalam keadaan yang memerlukan.
"Dalam usia lanjut, beliau tetap memilih untuk berusaha menyara diri melalui cara yang paling bermaruah, dengan mengutip bahan kitar semula dan menjualnya demi meneruskan kehidupan.
"Ini bukan kisah kejatuhan. Ini adalah kisah ketabahan dan tidak pernah berputus asa.
"Jika anda salah seorang bekas pelajarnya dan ingin membantu, silakan berbuat demikian," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram