'ChatGPT bukan pengganti ahli terapi,' pakar kongsi 11 sebab AI tidak sesuai untuk sokongan kesihatan mental


  • Maya
  • Isnin, 26 Mei 2025

Sesi terapi merupakan proses berterusan, dengan perkembangan dicatat dan dikaji dari masa ke masa. 

DALAM era teknologi kecerdasan buatan generatif (AI) yang berkembang pesat, pelbagai perkhidmatan kini boleh diakses hanya di hujung jari, termasuk panduan kesihatan mental. 

Namun, penggunaan alat seperti ChatGPT sebagai 'ahli terapi maya' menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pakar psikologi dan kesihatan mental.

Meskipun teknologi AI menawarkan kemudahan capaian sepanjang masa dan mampu memberi respon pantas, pakar menegaskan ia tidak wajar digunakan sebagai pengganti kepada terapi sebenar kendalian profesional terlatih. 

BACA LAGI: ChatGPT kini boleh diakses guna WhatsApp, cuma ramai kecewa info terhad setakat 2022, hanya kenal PM Ismail Sabri Yaakob

BACA LAGI: Wanita lebih rendah guna AI, ChatGPT berbanding lelaki, bimbang digelar menipu

Berikut 11 sebab ChatGPT dan alat AI seumpamanya tidak sesuai dijadikan rujukan utama dalam proses penyembuhan psikologi:

1. Hubungan terapeutik tidak boleh diganti

Terapi bukan semata-mata memberi nasihat, tetapi membina hubungan emosi yang mendalam antara klien dan ahli terapi. 

Manusia perlukan hubungan sebenar untuk sembuh. ChatGPT tidak mampu meniru kehangatan, empati dan penyesuaian emosi yang menjadi tulang belakang kepada proses terapeutik.

2. Kerahsiaan bukan jaminan mutlak

Walaupun AI menjanjikan privasi, ia tidak tertakluk kepada etika profesional atau undang-undang kerahsiaan yang mengikat ahli terapi berlesen. 

Ia menimbulkan risiko apabila maklumat sensitif dikongsi melalui perbualan digital.

Ramai individu datang ke terapi kerana trauma hubungan dan pemulihan.

3. Tiada keupayaan penilaian klinikal

Ahli terapi bukan sekadar pendengar. Mereka dilatih untuk mengenal pasti gejala tersembunyi dan menilai tahap krisis mental. 

AI sebaliknya, hanya memberi respon berdasarkan data tanpa keupayaan membuat keputusan klinikal yang sah.

4. Kekurangan pengalaman dan pemahaman dunia sebenar

Latihan bertahun-tahun, pemantauan kes klinikal dan pemahaman mendalam tentang manusia menjadikan ahli terapi pakar dalam bidangnya. 

ChatGPT hanya ‘membaca’ dan memproses maklumat tanpa memahami nuansa sebenar kehidupan manusia.

5. Trauma hubungan perlukan penyembuhan melalui hubungan

Ramai individu datang ke terapi kerana trauma hubungan dan pemulihan selalunya hanya boleh dicapai melalui interaksi manusia yang selamat dan menyokong. 

AI tidak mampu menjadi 'hubungan' itu.

6. Sukar membina kepercayaan dengan AI

Kepercayaan dibina melalui kehadiran fizikal, ekspresi wajah dan bahasa tubuh, semua yang tidak dapat dicapai melalui skrin atau teks AI. 

Tanpa elemen tersebut, hubungan terapeutik tidak dapat diwujudkan.

7. Terapi disesuaikan mengikut individu

Setiap individu membawa latar belakang dan cabaran unik. Ahli terapi berupaya menyesuaikan pendekatan mereka mengikut keperluan. 

AI hanya memberi jawapan umum berdasarkan corak data, bukan pada pemahaman mendalam.

ChatGPT hanya ‘membaca’ dan memproses maklumat tanpa memahami nuansa sebenar kehidupan manusia.

8. AI tidak tahu bila perlu mencabar klien

Dalam sesetengah kes, pertumbuhan peribadi memerlukan seseorang itu dicabar secara psikologi. 

Ahli terapi tahu bila masa yang sesuai untuk berbuat demikian. AI bagaimanapun, cenderung memberikan respons yang neutral atau terlalu menyokong.

9. Tiada sokongan jangka panjang

Sesi terapi merupakan proses berterusan, dengan perkembangan dicatat dan dikaji dari masa ke masa. 

ChatGPT tidak mempunyai keupayaan mengingati interaksi lampau atau membina kesinambungan sokongan.

10. Risiko pengasingan sosial

Kebergantungan kepada AI boleh mengurangkan interaksi manusia dan menyumbang kepada rasa kesunyian. 

Terapi sebenar mendorong klien membina hubungan sihat dengan komuniti sekeliling.

11. Tiada etika atau tanggungjawab profesional

Ahli terapi terikat dengan etika untuk memastikan tidak berlaku mudarat kepada klien. 

AI tidak mempunyai sistem nilai, tanggungjawab moral atau kebolehan untuk campur tangan ketika berlaku krisis emosi.

Pilih sokongan sebenar, bukan simulasi

Walaupun AI seperti ChatGPT boleh dijadikan alat bantu dalam pendidikan kesihatan mental atau pengurusan kendiri secara asas, pakar menegaskan ia tidak seharusnya menggantikan ahli terapi yang sebenar.

Untuk mereka yang ingin memulakan perjalanan ke arah pemulihan, banyak klinik dan pusat kesihatan mental kini menawarkan sesi konsultasi percuma sebagai langkah pertama.

Jangan lalui jalan penyembuhan seorang diri, bantuan sebenar sentiasa ada untuk anda. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram