Miliki pesona, keanggunan semula jadi, Nani Saban dinobat Kumang Gawai Dayak Sibu 2025


  • Sukses
  • Ahad, 25 Mei 2025

Nani Saban berjaya dinobatkan sebagai Kumang Gawai Dayak Sibu 2025 pada Sabtu malam. — Facebook/Julin Aisang

PESONA dan keanggunan semula jadi Nani Saban dari Sekuau berjaya memikat hati juri, sekali gus menobatkannya sebagai Kumang Gawai Dayak Sibu 2025 dalam satu acara gilang-gemilang yang berlangsung pada Sabtu malam.

Pertandingan tersebut merupakan acara kemuncak sambutan pra-Gawai Dayak di Sibu dan menjadi tumpuan utama pengunjung yang hadir bagi meraikan budaya serta warisan masyarakat Dayak.

Nani yang tampil anggun dengan penuh yakin menerima sorakan gemuruh daripada para hadirin sebaik diumumkan sebagai juara. 

BACA LAGI: Pelajar kejuruteraan bertuah bergelar ratu cantik kali ke-3

BACA LAGI: Elak guna 'essential oil' sebagai rawatan alternatif untuk kanak-kanak, berisiko jejas tumbesaran si kecil

Nani membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, mahkota berkilauan, selempang, trofi, hamper dan sijil penyertaan sebagai simbol kejayaan. — Facebook/Julin Aisang

Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM4,000, mahkota berkilauan, selempang, trofi, hamper dan sijil penyertaan sebagai simbol kejayaan.

Tempat kedua yang membawa gelaran Lulong dimenangi oleh Nelly Mujan Rogelio dari Sungai Asap, Belaga. 

Beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 bersama selempang, trofi, hamper dan sijil.

Sementara itu, tempat ketiga atau Selinggar Matahari menjadi milik Amenda Alannie Ambrose Luta dari Pasai Siong, Sibu dan membawa pulang RM2,000 beserta hadiah iringan.

Tujuh finalis lain yang turut menyinar di pentas akhir ialah Natasha Malviana Nyandang, Fravelian Jelika Radi, Adreana Filsie Sanau Anselm, Manisha Vyonnie Gelebat, Juliana Ungan Merayang, Olivia Ceilo Oliver dan Anesonia Aking. 

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM800 serta sijil penyertaan sebagai penghargaan atas penyertaan cemerlang.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie. 

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Susan Clement Ingun; Presiden Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), Datuk Alice Jawan dan Pengerusi SIDS Sibu, Angelyn Uchi Maseng.

Kumang Gawai bukan sekadar pertandingan ratu cantik, tetapi turut mengangkat nilai budaya, intelektual dan identiti wanita Dayak dalam konteks moden, menjadikannya platform penting dalam meraikan keindahan tradisi dan peranan wanita dalam komuniti. — The Star/ANDY CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram