[VIDEO] Tya Ariffin, Sarah Shahnor dan Juliana Evans antara usahawan Malaysia tamatkan kursus kepimpinan berprestij di Universiti Oxford


  • Sukses
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Barisan peserta yang menyertai program LEAP di Universiti Oxford pada 12 hingga 17 Mei lalu. — Instagram/sarahshahnor

SEKUMPULAN usahawan Malaysia dan Singapura berjaya menamatkan program Leadership Execution and Action Planning (LEAP) yang berlangsung di Universiti Oxford, United Kingdom (UK), pada 12 hingga 17 Mei lalu.

Antara yang terlibat dalam program tersebut termasuk pelakon dan usahawan, Tya Arifin serta suaminya, Asyraf Khalid; selebriti yang juga pengasas Jevans Jewelry, Che Puan Juliana Evans; pengasas produk penjagaan wajah Cuura, Sarah Shahnor; pengasas Gula Cakery Group, Arieni Ritzal; pengasas TudungPeople, Fazrena Aziz dan pengasas bersama TudungPeople, Fazly Azry.

Selain itu, individu lain terlibat dalam kursus pendek tersebut adalah pemilik syarikat perhubungan awam, S&A Integrated Communications, Selina Yeop Jr; pempengaruh media sosial, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman (Space Dollah); pengasas Muse Jewels, Dorothy Ng; usahawan dari Singapura, Miza Nazili Ghazali dan beberapa lagi tokoh perniagaan.

BACA LAGI: Walau bisnes jamu maju, Tya komited tambah ilmu, ambil kursus pendek di Oxford

BACA LAGI: Ceburi bidang perniagaan selepas tamat kursus pendek di Oxford, Uyaina saran anak muda usah remehkan pendidikan

 

 

Dalam satu perkongsian di Instagram, Sarah Shahnor meluahkan rasa syukur dan bangga kerana dapat menyertai program tersebut bersama peserta lain yang datang dari pelbagai latar belakang industri.

“Benar-benar bertuah dapat menjadi sebahagian daripada @oxfordleap 2025 dan bertemu dengan sekumpulan usahawan yang sangat luar biasa dan pelbagai latar.

"Ada daripada pengarah perniagaan F&B (makanan dan minuman), berusia 18 tahun, pemilik restoran, CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat minyak dan gas, perlombongan nadir bumi, e-dagang, pempengaruh media sosial, jenama kecantikan dan kesihatan, sehinggalah pelabur modal teroka bertaraf bilionair,” katanya.

Sarah Shahnor meluahkan rasa syukur dapat menyertai program tersebut bersama peserta lain yang datang dari pelbagai latar belakang industri. — Instagram/sarahshahnor

Program kepimpinan dan keusahawanan yang berlangsung selama seminggu di kampus berprestij Oxford itu memberi penekanan pada pembinaan strategi kepimpinan, perancangan tindakan dan pelaksanaan berkesan dalam konteks perniagaan sebenar.

Sarah turut berkongsi bagaimana peserta program digalakkan untuk bersikap terbuka dan berkongsi cabaran masing-masing, yang akhirnya mewujudkan semangat kolaborasi dan sokongan kukuh dalam kalangan peserta.

“Saya suka memberi semangat dan dorongan kepada semua yang dikenali, jadi di sini saya kongsikan siapa rakan sekelas saya yang hebat-hebat ini.

“Kita berjaya, semua! Oxford LEAP 2025 tamat dengan jayanya!” ujar beliau.

Tya Ariffin dan Juliana Evans antara selebriti yang berjaya menamatkan kursus LEAP. — Instagram/ tyaarifinnw

Program LEAP Universiti Oxford merupakan kursus kepimpinan bersepadu yang direka untuk membina kemahiran dalam mendiagnosis, merancang dan melaksanakan tindakan kompleks dalam pelbagai cabaran yang mungkin dihadapi oleh pemimpin selepas tamat pengajian.

Ia mendidik pelajar untuk mempertimbangkan pertukaran dan cabaran pengurusan yang akan dihadapi apabila ditugaskan untuk mencapai hasil tertentu.

Program LEAP Universiti Oxford dilihat sebagai platform penting bagi usahawan dan pemimpin industri meningkatkan kemahiran pengurusan serta membina jaringan global yang kukuh. 

Kursus pada tahun ini juga menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai mentor bagi berkongsi pandangan dan pengalamannya mengenai kepimpinan, proses membuat keputusan dan cara mengharungi cabaran bersama para peserta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram