
KEHADIRAN cahaya mata yang baru lahir sememangnya membawa kegembiraan kepada setiap ibu bapa.
Namun begitu, beberapa perubahan awal yang berlaku pada tubuh si kecil kerap menimbulkan kebimbangan terutamanya kepada ibu bapa baharu.
Pakar pediatrik dari Amerika Syarikat (AS), Dr Christopher Tolcher menyarankan agar ibu bapa memahami tempoh beberapa bulan pertama kehidupan bayi adalah fasa penyesuaian yang besar, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga hormon dan persekitaran.
“Yang penting ialah bayi berasa selesa dan rasa mereka mempunyai ikatan yang kuat dengan orang di sekeliling,” katanya.
Berikut merupakan lapan keadaan yang lazim berlaku dalam kalangan bayi baru lahir, namun sering disalah anggap sebagai petanda masalah kesihatan.
1. Penurunan berat badan pada minggu pertama
Ramai ibu bapa panik apabila bayi mereka mengalami penurunan berat badan sejurus selepas dilahirkan.
Namun ini adalah perkara biasa. Bayi lazimnya kehilangan antara lima hingga 10 peratus daripada berat lahir mereka dalam minggu pertama disebabkan kehilangan cecair badan.
Berat badan biasanya akan kembali meningkat dalam masa 10 hingga 14 hari selepas lahir.
Pakar menyarankan ibu bapa memahami tempoh beberapa bulan pertama kehidupan bayi adalah fasa penyesuaian yang besar.
2. Jerawat dan ruam
Sekitar usia dua hingga tiga minggu, tidak pelik jika kulit bayi mengalami jerawat atau ruam ringan terutamanya di pipi, hidung, dagu atau dada.
Keadaan itu biasanya hilang sendiri tanpa rawatan, kecuali jika berlanjutan melepasi usia enam minggu, yang mungkin menandakan masalah kulit lain seperti ekzema.
3. Kerak putih di kepala (cradle cap)
Kerak bersisik di kulit kepala bayi juga adalah satu lagi keadaan biasa.
Pakar pediatrik, Dr Alanna Levine mencadangkan agar ibu bapa menyikat kerak tersebut secara lembut sebelum memandikan bayi dan menyapu sedikit minyak bayi bagi mengurangkan kesan kulit mengelupas.
4. Bintik lembut berdenyut di kepala
Tompok lembut atau fontanel di kepala bayi sering menimbulkan rasa tidak selesa kepada ibu bapa.
Namun, menurut Dr Brigitta Moresea dari Cleveland Clinic, keadaan itu adalah normal kerana tengkorak bayi belum sepenuhnya bercantum, bagi membolehkan pertumbuhan otak dan perjalanan keluar dari saluran kelahiran secara optimum.
Kerak bersisik di kulit kepala bayi adalah satu keadaan yang biasa.
5. Bersin secara berulang
Lubang hidung bayi yang kecil menjadikannya sensitif kepada habuk, lendir atau sisa air ketuban.
Ia menyebabkan bayi sering bersin, walaupun mereka tidak sakit.
Namun, jika bersin disertai dengan pernafasan berbunyi atau kesukaran bernafas, ibu bapa disarankan membuat pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan.
6. Pergerakan mengejut atau tersentak
Refleks Moro atau refleks terkejut adalah reaksi normal sistem saraf bayi yang masih berkembang.
Bayi mungkin tiba-tiba mengejut apabila mendengar bunyi kuat. Refleks itu lazimnya berkurangan menjelang usia tiga hingga empat bulan.
7. Kerap sedu
Tersedu selepas menyusu adalah sesuatu yang biasa dan biasanya tidak membimbangkan.
Seiring tumbesaran bayi, kekerapan sedu akan berkurangan.
8. Najis pertama berwarna hitam pekat
Najis pertama bayi, dikenali sebagai mekonium, biasanya berwarna hitam dan melekit.
Ia adalah kesan normal sistem pencernaan yang mula berfungsi dan akan berubah menjadi warna coklat atau kuning dalam beberapa hari berikutnya.
Proses penyesuaian bayi selepas lahir adalah fasa penting pertumbuhan dan pembentukan sistem tubuh mereka.
Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk tidak terlalu panik dengan perubahan awal yang berlaku.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan, berjumpa dengan pakar kanak-kanak adalah langkah terbaik agar keadaan bayi dapat dinilai dengan tepat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram